POLITIK

PRN Sabah: Calon Dun Api-Api Bidas Dakwaan Kurang Fasih Mandarin

17/11/2025 09:10 PM

KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Thonny Chee, membidas kritikan yang mendakwa beliau sukar berkomunikasi dengan masyarakat Cina kerana tidak menguasai bahasa Mandarin, sebaliknya hanya fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

Chee berkata isu bahasa bukan halangan untuknya berkhidmat kepada komuniti kerana penduduk di kawasan ditandinginya juga fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

“Saya tahu di DUN Api-Api, masyarakat Cina semua fasih berbahasa Melayu dan Inggeris. Jadi saya boleh gunakan dua bahasa ini untuk berkomunikasi dengan mereka. Orang yang cuba menggunakan isu ini sebenarnya tidak bijak kerana saya nampak tiada isu di situ,” katanya.

Beliau ditemui media selepas beramah mesra dengan pengundi di beberapa premis sekitar DUN Api-Api di sini hari ini. Program kempen Chee turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Naib Presiden PKR Chang Lih Kang.

Chee berkata beliau memahami maksud perkataan yang dituturkan dalam bahasa Mandarin, tetapi tidak berani membalasnya kerana bimbang disalahertikan.

“Bahasa Mandarin ada intonasi yang berbeza-beza. Kadang-kadang sebutannya sama tetapi sedikit perubahan intonasi boleh menukar maksud. Jadi daripada saya (bimbang salah) cakap bahasa Mandarin, bagus saya cakap bahasa Melayu atau Inggeris kerana mereka pun faham.

“Pada masa sama, saya pun sedang belajar (perbaiki penguasaan) bahasa Mandarin dengan sifu saya di sebelah ini,” katanya yang merujuk kepada Chang. 

DUN Api-Api adalah satu daripada DUN dalam Parlimen Kota Kinabalu selain Likas dan Luyang. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian, manakala 25 Nov hari mengundi awal.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

 

N20: API-API: SABAH: 17,782

1. Ng Chun Sua                               (PIS)

2. Ting Shu Kiong                           (STAR)

3. Soh Kee Suat @ So Chee Say   (PBK)

4. Loi Kok Liang                              (Warisan)

5. Thonny Chee                               (PH-PKR)

 

(2020: Christina Liew Chin Jin: Warisan Plus-PKR: Maj: 5,347)

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan