SUKAN

Piala FA: Selangor FC Harap FAM Pertimbang Rayuan Sebelum Aksi Timbal Balik Lawan Sabah FC

17/11/2025 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Selangor FC berharap rayuan mereka terhadap hukuman insiden “panas” melibatkan kelakuan penyokong pada aksi suku akhir kedua Piala FA 2025-26 menentang Negeri Sembilan FC, bulan lepas dapat dipertimbangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum aksi timbal balik separuh akhir saingan tersebut menentang Sabah FC, 30 Nov ini.

Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan mereka tidak sesekali menyokong sebarang tingkah laku yang boleh mengancam keselamatan semua pihak, dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Selangor pada masa sama juga menjelaskan empat insiden pada perlawanan menentang Negeri Sembilan yang membawa kepada hukuman dikenakan oleh FAM.

Bagi insiden pertama, pasukan “Gergasi Merah” menyatakan bahawa penyokong mereka tidak terlibat dalam insiden membakar dan melempar mercun di dalam stadium.

Juara lima kali itu menjelaskan bagi insiden kedua, penyokong tuan rumah tidak merosak atau melontarkan bangku tempat duduk, yang mengakibatkan kecederaan kepada penyokong pelawat di dalam stadium semasa perlawanan berlangsung, dengan pihak kelab mendapati kerosakan serta kehilangan bangku tempat duduk itu berlaku di kawasan penyokong pelawat sahaja.

“Insiden 3, pihak kelab ingin menjelaskan bahawa tiada tetamu berstatus VVIP Selangor FC yang melontar bekas minuman plastik ke kawasan tempat duduk keluarga pasukan pelawat.

“Insiden 4, pihak kelab ingin menjelaskan bahawa penyokong Selangor FC tidak membuat provokasi yang mengakibatkan kekecohan di dalam stadium. Kekecoh­an antara penyokong di dalam stadium berpunca apabila penyokong pasukan pelawat membakar dan melempar mercun ke tempat duduk penyokong Selangor FC,” menurut kenyataan itu.

Selangor juga memaklumkan mereka telah menyediakan seramai 170 pegawai keselamatan dan anggota polis semasa perlawanan tersebut berlangsung.

“Dalam setiap insiden yang berlaku di dalam stadium, pegawai-pegawai keselamatan dan anggota PDRM dilihat sentiasa berada dalam kedudukan bersedia bertindak di setiap lokasi bagi menangani sebarang insiden yang tidak diingini,” menurut kenyataan itu.

Sabtu lepas, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Baljit Singh Sidhu dilaporkan berkata skuad itu akan beraksi di stadium kosong pada aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Sabah FC pada 30 Nov ini dan perlawanan sulung mereka di gelanggang sendiri bagi saingan sama, musim berikutnya.

Baljit berkata Selangor FC, yang mara ke separuh akhir musim ini hasil kemenangan dengan agregat 6-3, juga didenda RM100,000 akibat kesalahan berulang menurut Artikel 42, Perenggan 1 Kod Tatatertib FAM.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan