KUALA NERUS 18 Nov (Bernama) -- Seramai 10,000 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan komuniti sekitar Kuala Nerus mendapat manfaat daripada penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI@UMT.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMT Prof Dr Mohd Izani Zain berkata program itu merupakan sebahagian komitmen universiti dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan mahasiswa sentiasa terpelihara.
Beliau berkata selain pelajar, komuniti setempat turut menikmati akses kepada barangan keperluan pada harga mampu milik dan lebih rendah berbanding pasaran.
“Inisiatif Jualan Rahmah MADANI yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu ini selaras dengan aspirasi UMT untuk mewujudkan ekosistem kampus sejahtera serta membantu meringankan kos sara hidup pelajar.
“UMT akan terus memperkasa agenda kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa secara holistik. Selain jualan barangan keperluan oleh peniaga dilantik, UMT turut menyediakan gerai usahawan kampus bagi memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan) UMT, Noralia Abdullah, 20, berkata harga rendah yang ditawarkan pada program berkenaan membantu beliau menjimatkan perbelanjaan, khususnya kos makanan.
Noralia berkata Jualan Rahmah MADANI di kampus wajar dianjurkan secara lebih berkala bagi membantu pelajar menangani peningkatan kos sara hidup.
“Saya bergantung sepenuhnya pada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Jadi, seboleh mungkin saya memasak untuk berjimat kerana perlu membayar sewa rumah dan kos pengangkutan setiap bulan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial