SUKAN

Isu Pemain Warisan: Pemalsuan Dokumen Jejas Asas Integriti Bola Sepak – FIFA

18/11/2025 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menegaskan bahawa kesalahan yang diteliti dalam prosiding melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan berkaitan pemalsuan dokumen, menjejaskan asas integriti bola sepak.

Dokumen setebal 63 muka surat dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA hari ini, menekankan kelayakan pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan bukan sahaja keperluan prosedur tetapi juga prinsip asas yang melindungi kredibiliti pertandingan antarabangsa serta kepercayaan pihak berkepentingan di seluruh dunia.

“Sebarang cubaan memalsukan dokumen dengan tujuan memperdaya badan pengelola dan mengelak daripada peraturan yang berkuat kuasa merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip ini.

“Tindakan sedemikian merosakkan keadilan permainan, menghakis keyakinan awam dan tidak boleh diterima dalam apa-apa jua keadaan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa FIFA memutuskan bahawa tiada asas untuk membatalkan keputusan rayuan dan dengan itu semua rayuan pemohon ditolak sepenuhnya.

Jawatankuasa Rayuan FIFA juga memaklumkan bahawa kos prosiding akan ditanggung pemohon secara sama rata, selaras dengan Perkara 49 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Pada 3 Nov lepas, FIFA menolak rayuan dikemukakan FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.

Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman dikenakan Jawatankuasa Tatatertib terhadap FAM dan tujuh pemain warisan berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (lebih kurang RM11,000), dan kesemua tujuh pemain digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan