JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kenal Pasti Individu Berpotensi Ganggu PRN Sabah - KPN

19/11/2025 01:57 PM

TAWAU, 18 Nov (Bernama) -- Polis telah mengenal pasti beberapa individu yang berpotensi menimbulkan kekecohan atau mengganggu kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya turut memberi tumpuan kepada kira-kira 15 kawasan dianggap panas berdasarkan pengalaman pilihan raya lepas bagi memastikan keadaan keselamatan sentiasa terjamin.

"Kita menugaskan pegawai dan anggota antaranya daripada Jabatan Siasatan Jenayah termasuk pasukan Cawangan Khas agar proses pilihan raya ini terkawal," katanya pada sidang media sempena Ops PRN Sabah ke-17 di sini hari ini.

Mohd Khalid berkata setakat ini, proses pilihan raya yang sudah memasuki hari keempat berjalan lancar dan pihak polis akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

"Pilihan raya negeri ini adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu rakyat Sabah. Nampaknya setakat ini baik dan saya berharap pilihan raya ini dapat diselesaikan juga dengan suasana yang baik.

"Setakat ini, di bahagian pantai timur Sabah, Tawau tidak ada isu-isu begitu besar yang perlu menjadi kerisauan. Anggota bertugas pada PRN Sabah lebih kurang 9,200 orang," katanya.

Selain itu, beliau berkata pihak polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan dengan isu pengundi hantu dan percaya sistem dilaksana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah utuh.

Beliau juga menasihati semua pegawai dan anggota polis yang layak mengundi pada PRN Sabah kali ini  agar menunaikan tanggungjawab sebaiknya serta kebebasan memilih supaya hak mereka terbela.

SPR menetapkan 25 Nov bagi pengundian awal PRN Sabah manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.

Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17,  sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan