KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menaruh harapan lawatan kerja ke Addis Ababa, Johannesburg dan Nairobi akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan diplomatik serta peluasan kerjasama strategik antara Malaysia dan negara Afrika.
Anwar berkata beliau berharap setiap sesi rundingan yang berlangsung akan dipermudah, sekali gus membuka ruang kerjasama baharu yang mampu memperkukuh rantaian ekonomi, meningkatkan akses pasaran dan membawa manfaat kepada rakyat Malaysia.
“Saya akan membawa suara Malaysia dengan penuh keyakinan dan iltizam bagi memperkukuh hubungan dua hala serta memacu kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan baharu di benua Afrika.
“Insya-Allah, lawatan ini akan membuka lebih banyak ruang kemajuan strategik, memperluas peluang pembangunan dan membawa manfaat yang nyata kepada rakyat serta negara,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Perdana Menteri hari ini berlepas ke Ethiopia yang merupakan persinggahan pertama dalam rangka lawatan ke tiga negara di benua Afrika, bermula dengan lawatan rasmi selama tiga hari di Addis Ababa sehingga 20 November atas jemputan rakan sejawatnya, Dr Abiy Ahmed Ali.
Dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi lawatan kerja bermula 20 hingga 23 November untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20, dan kemudiannya diikuti lawatan rasmi ke Kenya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial