SANDAKAN, 18 Nov (Bernama) -- Penempatan aset baharu iaitu Ex-United States Coast Guard Cutter (USCGC) Steadfast di Sabah membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keselamatan perairan di negeri ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata aset strategik itu akan ditempatkan di Sabah sebaik sahaja proses penambahbaikan dan penyelenggaraan kapal berkenaan selesai.
“USCGC Steadfast yang diterima daripada Amerika Syarikat pada awal bulan ini sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan.
“Kapal itu berada di Pelabuhan Klang selepas belayar hampir dua bulan dari Baltimore, Amerika Syarikat. Sebaik selesai proses penyelenggaraan, ia akan digerakkan ke perairan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas Program Sembang Santai Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting bersama komuniti Cina di Kampung Pukat di sini malam ini.
Beliau berkata perbincangan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan diadakan bagi menentukan lokasi penempatan aset baharu itu.
Saifuddin Nasution berkata kapal peronda luar pesisir (OPV) KM Fatimah yang ditempatkan di Sarawak turut memperlihatkan keutamaan kerajaan dalam menjaga keselamatan perairan Sabah dan Sarawak.
Kapal USCGC Steadfast yang berukuran panjang 64.16 meter dengan kelebaran 10 meter serta berat 1,100 tan itu mampu menampung 12 pegawai dan 63 anggota lain-lain pangkat pada satu masa, selain mencapai kelajuan sehingga 18 knot.
“Ia akan meningkatkan keupayaan APMM untuk mengawal hampir 600,000 kilometer persegi (perairan negara).
"Mereka inilah yang berdepan dengan penyeludupan senjata, dadah, penyeludupan manusia, perikanan tidak sah, nelayan asing menceroboh kawasan kita ataupun kapal asing yang masuk kawasan kita,” katanya.
Karamunting adalah antara DUN dalam Parlimen Batu Sapi yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 selain Sekong.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Nov sebagai undi awal manakala hari pengundian pada 29 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N54: KARAMUNTING: SABAH: 19,615
1. Wong Tshun Khee (Warisan)
2. Datuk George Hiew Vun Zin (PH-PKR)
3. Datuk Chin Kim Hiung (BN-MCA)
4. Datuk Chew Kok Woh (KDM)
5. Soo Ming Soon (PIS)
(2020: George Hiew Vun Zin: Warisan Plus-Warisan: Maj: 2,479)
(Kini: PH-PKR)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial