AM

KPN Ucap Tahniah Atas Kejayaan Pdrm Pastikan Sidang Kemuncak ASEAN Lancar

19/11/2025 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail hari ini mengucapkan tahniah kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan memastikan kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung baru-baru ini.

Beliau berkata kejayaan itu adalah hasil komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh setiap anggota.

“Terima kasih juga dizahirkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dan jenteranya kerana berjaya memastikan pergerakan tetamu-tetamu kenamaan selamat dan berjalan lancar sepanjang persidangan diadakan.

“Tidak dilupakan, sekalung penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada Pengarah Cawangan Khas dan semua petugas yang bertanggungjawab ke atas kawalan keselamatan orang kenamaan serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohd Khalid turut mendoakan agar dua anggota trafik yang terlibat dalam nahas ketika bertugas semasa Sidang Kemuncak ASEAN, diberikan kesembuhan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt lepas di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan".

Pada perhimpunan itu, Mohd Khalid mengumumkan bahawa PDRM berjaya meraih Anugerah Perak dalam penyertaan kali pertama mereka di Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 pada 22 Okt lepas.  

Beliau berkata pengiktirafan itu membuktikan bahawa pelaksanaan sistem kawalan dalaman, budaya pematuhan berasaskan integriti dan komitmen kepimpinan tertinggi organisasi berada pada landasan kukuh. 

Mohd Khalid turut mengingatkan barisan kepimpinan untuk terus memperkukuh penyeliaan melalui pemantauan lebih rapi sebagai langkah pencegahan salah laku sambil menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam perbuatan menyalahi peraturan dan undang-undang.  

Selain itu, beliau berkata isu kesihatan mental perlu diberi perhatian serius dan penyelia disaran agar lebih peka terhadap perubahan tingkah laku, tekanan emosi atau tanda-tanda kemurungan dalam kalangan anggota akibat bebanan hidup serta tekanan kerja.  

"Tindakan intervensi awal perlu diambil melalui pendekatan empati, program kaunseling serta bimbingan bagi memastikan individu yang memerlukan sokongan mendapat perhatian sewajarnya," kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan