GEORGE TOWN, 19 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri dalam proses memeterai kerjasama strategik dengan Fujian Agriculture and Forestry University (FAFU), China bagi pembangunan teknologi padi ratun yang memungkinkan dua kali penuaian dengan hanya sekali tanam.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang Fahmi Zainol berkata perbincangan teknikal sedang dimuktamadkan antara Jabatan Pertanian negeri, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta FAFU bagi memastikan kesediaan pelaksanaan teknologi itu.
Beliau berkata projek perintis padi ratun sedang dilaksanakan di Stesen Padi Bukit Merah seluas lapan hektar menggunakan varieti MR297 dengan pelaksanaan kerja lapangan termasuk pembajakan, pembersihan batas, kawalan perosak, penyediaan tanah dan penaburan benih menunjukkan permulaan yang teratur serta bersandarkan metodologi saintifik.
“Kaedah ini terbukti menjimatkan kos operasi kerana pesawah tidak perlu menanam semula setiap musim dan padi tumbuh semula daripada tunggul sedia ada. Ia membantu menjimatkan kos benih, upah menanam, tenaga kerja dan penyediaan tanah
“Padi ratun berpotensi meningkatkan pendapatan pesawah kerana penuaian dilakukan lebih daripada sekali tanpa peningkatan kos ketara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2026 (Belanjawan negeri 2026) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan kaedah itu menyokong pertanian lestari di samping mengoptimumkan penggunaan dan mengekalkan kesuburan tanah, mengurangkan hakisan sekali gus meminimumkan penggunaan bahan kimia.
Selain teknologi padi ratun, beliau berkata Pulau Pinang juga melihat teknologi pertanian menegak sebagai pemangkin ekosistem pertanian urban menerusi Projek Pertanian Menegak Dalam Bangunan.
Beliau berkata teknologi pertanian menegak muncul sebagai orientasi moden untuk meningkatkan pengeluaran makanan di kawasan bandar yang kekurangan tanah melalui sistem penanaman berintensiti tinggi secara menegak dipacu automasi dan kawalan berpusat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MARDI atas komitmen membantu Pulau Pinang menerapkan teknologi tersebut yang berkemungkinan menjadi pelopor baharu di utara tanah air selepas di Taman Perindustrian Nusajaya, Johor
Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bakal memperkenalkan Projek Nanas Organik Berkonsepkan Urban Farming pertama di Malaysia.
“Pendekatan futuristik ini membolehkan nanas organik ditanam bukan sahaja di tanah pertanian konvensional, malah di kawasan bandar, perumahan, bangunan bertingkat dan melalui kaedah plant bag.
“Projek ini mengangkat tanaman premium bernilai tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat dan mengubah paradigma pertanian sekali gus membuktikan pertanian tidak lagi terikat pada keluasan tanah tetapi berteraskan teknologi, inovasi dan kecekapan” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial