POLITIK

Pelancaran Manifesto PH Sabah Ditangguh Hingga Ahad - Chan

19/11/2025 05:46 PM

KOTA KINABALU, 19 Nov (Bernama) -- Pelancaran manifesto Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijadualkan esok ditangguhkan sehingga Ahad ini berikutan isu penterjemahan, kata Timbalan Pengerusi DAP Sabah Datuk Chan Foong Hin. 

Chan, yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud. 

“Saya baru sahaja berhubung dengan Datuk Mustapha Sakmud... dia beritahu saya (pelancaran manifesto itu) ditangguhkan kepada Ahad ini... Khamis tidak sempat... kerana ada isu penterjemahan,” katanya.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata demikian kepada pemberita selepas program Taklimat Kesedaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Kampung Torong Logong, Pulau Gaya hari ini.

Semalam, Mustapha memaklumkan media bahawa PH akan melancar manifesto pada Khamis dengan fokus utama menubuhkan tabung khas bagi rakyat Sabah, selain memberi penekanan kepada penyelesaian isu-isu asas di negeri itu.

Chan juga berkata sebagai antara individu yang terlibat dalam proses pendrafan dokumen itu, manifesto PH adalah realisitik, tidak menjanjikan "bulan dan bintang" kerana hanya berkisar tentang memenuhi keperluan asas rakyat.

Beliau turut menepis kritikan yang mendakwa anggaran kos projek pembinaan kompleks sekolah baharu yang dikhususkan untuk Pulau Gaya adalah tidak wajar sambil menegaskan bahawa akses kepada pendidikan tidak seharusnya dinilai dengan harga, dan ia bukan bermotifkan pilihan raya.

“Saya ada atau tidak ada, projek itu tetap berjalan... cuma saya mengetahui rancangan pelaksanaannya lebih awal kerana saya berada dalam pentadbiran kerajaan.

“Sebagai kerajaan, kita tidak boleh menafikan hak pelajar untuk mendapat pendidikan kerana pendidikan adalah untuk semua dan tidak ternilai harganya… kita tidak boleh meletakkan harga pada ilmu, jadi saya rasa (dakwaan bahawa projek) ini (terlalu mahal adalah) satu tanggapan yang salah dan memainkan sentimen,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

 

N22: TANJUNG ARU: SABAH: 21,264

 

1. Datuk Loh Ee Eng                   (PBK)

2. Hiew Choon Yu                       (STAR)

3. Datuk Wong Hong Jun            (Warisan)

4. Yee Wee Ping                          (PIS)

5. Dennison R Indang                 (UPKO)

6. Mohamed Zaim Ansawi           (Bebas)

7. Ritchie Jay Cheng                   (Bebas)

8. Suhaimi Buang                        (PN-Bersatu)

9. Datuk Chan Foong Hin            (PH-DAP)

 

(2020: Junz Wong Hong Jun: Warisan Plus-Warisan: Maj: 3,147)

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan