EKONOMI

Kerugian Pos Malaysia Berkurangan Kepada RM45.23 Juta Dalam Suku Ketiga

19/11/2025 08:25 PM

 KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pos Malaysia Bhd mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM45.23 juta untuk suku ketiga yang berakhir pada 30 Sept 2025, mengurangkan kerugian bersih sebanyak RM49.89 juta pada suku yang sama tahun sebelum ini.

Pendapatan meningkat kepada RM462.77 juta berbanding RM458.96 juta sebelumnya selepas dipacu oleh prestasi yang lebih kukuh dalam sektor pos dan penerbangan. 

“Jumlah bungkusan menokok 15 peratus dari tahun ke tahun, didorong oleh peningkatan dalam bahagian pasaran, bagaimanapun, hasil kekal di bawah tekanan disebabkan persaingan sengit.

“Segmen pembungkusan akan menumpukan kepada pengoptimuman rangkaian bagi mengurangkan kos penyampaian keseluruhan selain membezakan  perkhidmatan bagi mempercepatkan pertumbuhan dalam bahagian pasaran,” katanya melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Untuk tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2025, syarikat itu mencatatkan kerugian bersih RM132.17 juta berbanding RM125.5 juta dalam kerugian bersih bagi tempoh yang sama tahun kewangan terakhir, dengan masing-masing menyaksikan pendapatan sebanyak RM1.37 bilion dan 1.39 bilion.

Menurut Pos Malaysia, Pos Aviation terus memberikan pertumbuhan yang mantap dari tahun ke tahun, disokong oleh sumbangan katering dalam penerbangan yang teguh serta volum pengendalian darat yang lebih baik di beberapa stesen utama.

Sementara itu, strategi pemulihan Pos Logistics tetap berada di landasan yang betul, dengan usaha ditumpukan untuk memantapkan prestasi kewangan melalui penggunaan aset, segmentasi pelanggan serta penstrukturan semula unit-unit perniagaan yang mencatatkan kerugian.

Melangkah ke hadapan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Charles Brewer berkata Pos Malaysia akan menangani perubahan struktur dengan memajukan perjalanan transformasinya termasuk melaksanakan model perniagaan baharu dengan pembuktian konsep bertujuan membina Pos Malaysia yang lebih lentur, tangkas dan sesuai untuk tujuan.

“Pada masa yang sama, kami bekerjasama rapat dengan kerajaan serta penggubal dasar bagi menubuhkan Akta Perkhidmatan Pos yang moden yang akan menyokong masa depan kami.

“Walaupun wujud ketidakpastian persekitaran operasi yang dinamik, kami tetap optimis dengan berhati-hati mengenai prospek kami untuk suku akhir tahun kewangan 2025,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan