AM

Malaysia Perkukuh Komitmen Global Ke Arah Keterangkuman Digital - Fahmi

19/11/2025 08:38 PM

BAKU (Azerbaijan), 19 Nov (Bernama) -- Malaysia komited untuk memimpin perbincangan dan tindakan di peringkat global bagi mewujudkan masa depan digital yang lebih inklusif, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata visi Malaysia Inclusivity for an Equitable Future, mencerminkan komitmen berkenaan, dengan menekankan bahawa keterangkuman digital adalah hak, bukan keistimewaan.

“Sama ada menerusi program kemahiran digital, pembangunan insfrastruktur mudah diakses atau inovasi berasaskan komuniti, kami komited untuk membina masa depan yang inklusif tanpa meminggirkan sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan tengah hari Malaysia sempena Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2025 (WTDC-25) di sini hari ini.

Menurut Fahmi, majlis berkenaan bukan hanya makan bersama, tetapi merupakan detik untuk meraikan langkah bersama dalam memajukan keterangkuman digital, memupuk inovasi dan menggalakkan pembangunan lestari.

“Bersama-sama, kita terus membuktikan apabila negara-negara bekerjasama, keterhubungan menjadi pemangkin kepada peluang dan kemajuan,” katanya.

Fahmi berkata Malaysia berbangga kerana sudah sekian lama menjadi rakan kongsi Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan berbesar hati dilantik Ahli Majlis ITU bagi penggal 2023-2026.

“Malaysia juga berbesar hati mengumumkan pencalonan sebagai Ahli Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.

“Selari dengan tema Inclusivity for an Equitable Future, Malaysia dengan rendah hati memohon sokongan daripada semua negara anggota untuk terus menyumbang secara bermakna kepada misi ITU,” katanya.

Majlis makan tengah hari itu turut dihadiri Setiausaha Agung ITU Doreen Bogdan-Martin dan Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi ITU Dr Cosmas Luckyson Zavazava.

Turut hadir Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Duta Malaysia ke Azerbaijan Ahmad Kamrizamil Mohd Riza, Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC Datuk Zurkarnain Mohd Yasin dan Setiausaha Bahagian Teknologi Komunikasi Kementerian Komunikasi Ahmad Norhad Zahari.

Sementara itu, Bogdan-Martin dalam ucapannya memuji dasar Malaysia dalam membina masa depan digital, dengan menekankan keterhubungan sejagat, kepercayaan digital, keselamatan dalam talian dan kemahiran digital.

“Menteri (Fahmi) menerusi kenyataan dasarnya, saya percaya telah dinyatakan secara jelas visi yang harus kita usahakan iaitu untuk membina masa depan digital dengan semua orang terhubung, inklusif dan selamat di mana sahaja.

“Anda juga telah berjanji untuk mempromosikan keterhubungan sejagat yang mampu dimiliki melalui kerjasama, memperkukuh kepercayaan digital dan keselamatan siber, memajukan pembangunan kapasiti kemahiran digital dan sudah tentu mempererat kerjasama serantau serta pelbagai pihak berkepentingan bagi ekonomi digital yang inklusif,” katanya.

Beliau turut memuji Projek Inklusif Digital NADI Malaysia oleh MCMC, yang dinobatkan juara Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WSIS) 2025 pada Julai lepas, menyifatkan sebagai projek luar biasa menghubungkan kawasan terpencil di Malaysia melalui Internet berkelajuan tinggi dan menyediakan peluang latihan kemahiran digital.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan