EKONOMI

Anwar Puji Sejarah Keterbukaan Ethiopia, Relevan Dipraktik Dalam Memupuk Kerjasama Perdagangan, Pelaburan

19/11/2025 08:44 PM

Daripada M.Saraswathi

ADDIS ABABA, 19 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memuji keterbukaan Ethiopia yang mempunyai sejarah menerima penghijrahan awal umat Islam dan berpendapat bahawa semangat tersebut masih relevan untuk diamalkan pada zaman moden, khususnya dalam memupuk kerjasama perdagangan dan pelaburan.

Beliau berkata bahawa Ethiopia membuktikan kepada dunia bahawa kekuatan sebenar sesebuah negara tidak hanya pada kekuasaan, tetapi pada kesanggupan melindungi dan memuliakan insan.

"Saya membawa semangat itu ke forum perniagaan hari ini, sambil menegaskan kerjasama ekonomi tidak semata angka dan kontrak, tetapi wahana memperluas kepercayaan, empati dan manfaat bersama," katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Ethiopia-Malaysia yang dihadiri 200 wakil perniagaan di Pusat Konvesyen Antarabangsa Addis di sini, hari ini.

Perdana Menteri tiba di Ethiopia pada Selasa yang merupakan persinggahan pertama dalam rangka lawatan ke tiga negara di benua Afrika termasuk Afrika Selatan dan Kenya, bermula dengan lawatan rasmi selama tiga hari di Addis Ababa sehingga 20 November atas jemputan rakan sejawatnya, Dr. Abiy Ahmed Ali.

Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke Ethiopia dan bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Ethiopia yang terjalin sejak Januari 1965.

"Sama seperti Raja Najashi menerima hijrah dengan jiwa yang besar, Malaysia hadir ke Afrika dengan keinginan untuk membina jambatan yang adil, inklusif dan mampan.

"Kita membuka ruang untuk pelaburan hijau, teknologi digital, pertanian moden, tenaga boleh baharu, dan akses ke rantau ASEAN yang dinamik," katanya.

Anwar berharap pertemuannya bersama pelabur dan penggerak industri Ethiopia-Malaysia hari ini menjadi pemangkin dan pemetaan baharu yang berpaksi pada kemanusiaan, diperkasa melalui inovasi yang akhirnya menjanjikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara sahabat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan