JENAYAH & MAHKAMAH

Pegawai Bank Rugi Hampir Setengah Juta Terperdaya Pelaburan Tidak Wujud

19/11/2025 09:25 PM

ALOR SETAR, 19 Nov (Bernama) -- Seorang pegawai remisier bank kerugian RM471,100 setelah terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan di Facebook pada Sept lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah Supt Loi Yew Lik berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim 1.50 tengah hari semalam.

Beliau berkata kejadian bermula 16 Sept lepas apabila mangsa mendakwa ternampak iklan pelaburan itu di laman sosial berkenaan yang ditawarkan sebuah syarikat dengan menjanjikan keuntungan lumayan. 

"Mangsa telah diyakinkan dengan tangkap layar testimoni keuntungan dan diberitahu pelaburan berkenaan adalah dijamin tanpa risiko. Dia kemudian menghubungi seorang individu bernama Cheryl, wakil syarikat pelaburan berkenaan melalui WhatsApp,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Loi berkata pada 29 Okt, mangsa mula membuat 14 transaksi pembayaran ke akaun sebuah bank berjumlah RM471,100 dan pada awalnya mendapat pulangan RM21,100, namun selepas itu suspek mula memberi pelbagai alasan serta memintanya untuk membuat pembayaran tambahan.

Beliau berkata pegawai bank itu kemudian mengesyaki telah ditipu selepas mesejnya tidak dibalas dan siasatan mendapati nombor telefon yang digunakan suspek adalah palsu dan bukan digunakan oleh syarikat berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan