AM

Jualan Agro MADANI Rekod Nilai Jualan RM48 Juta, Penjimatan RM14.4 Juta Setakat Oktober

21/11/2025 04:40 PM

KANGAR, 21 Nov (Bernama) -- Sebanyak RM48 juta nilai jualan direkodkan daripada 2,486 penganjuran program Jualan Agro MADANI oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara, dengan penjimatan RM14.4 juta sehingga 31 Okt lepas.

Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkifli berkata penganjuran jualan itu memberikan manfaat kepada 6.6 juta isi rumah serta melibatkan penyertaan 33,919 usahawan.

“Jualan Agro MADANI (tahun ini) kami sasarkan 3,500 penganjuran program jualan. FAMA menyahut cabaran untuk mencapai sasaran ini sehingga penghujung tahun ini. Penganjuran pada hujung tahun ambil kira musim cuti, itu yang menjadikan keinginan nak pergi ke karnival (Jualan Agro MADANI) pun ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Karnival Jualan Agro MADANI Negeri Perlis di Dataran Dato' Sheikh Ahmad di sini hari ini, yang disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.

Karnival jualan itu berlangsung empat hari bermula semalam.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata FAMA sentiasa bersiap sedia untuk memastikan bekalan hasil tani dan bahan makanan asas mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir pada musim tengkujuh ini.

“Setakat ini kami mampu dengan kerjasama yang ada antara pihak swasta, industri serta agensi kerajaan dari segi logistik itu. Kedua, jaringan FAMA dengan rakan kontrak untuk FAMA dapatkan bekalan itu. Sekiranya bekalan itu terjejas, FAMA akan berusaha membawa masuk dari luar negara demi memenuhi keperluan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan