DUNIA

Bursa Malaysia Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan - Penganalisis

22/11/2025 10:41 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu dengan kecenderungan menurun di tengah-tengah keadaan yang tidak menentu di pasaran global, kata seorang penganalisis.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pasaran global menjadi tidak menentu apabila pelabur menilai semula penilaian harga yang tinggi serta penetapan masa penurunan kadar Rizab Persekutuan AS manakala perubahan dalam hasil teknologi dan Perbendaharaan AS akan kekal sebagai pemacu luaran utama bagi aset risiko ASEAN.

"Di dalam negara, pelabur masih akan menilai data perdagangan dan inflasi terkini berbanding pendirian dasar Bank Negara Malaysia yang stabil.

"PMI pembuatan (indeks pembuatan pembelian) yang lebih perlahan juga mengingatkan kita bahawa permintaan luaran masih belum pulih sepenuhnya, yang sepatutnya dapat mengawal kenaikan domestik dan mengukuhkan pasaran," katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, FBM KLCI kembali menyusut ke dalam jajaran 1,610-1,630 seiring dengan penurunan serantau.

Bagaimanapun, Innes berkata makroekonomi Malaysia masih kekal teguh secara asasnya, disokong oleh pertumbuhan kukuh ekonomi pada suku ketiga, peningkatan permintaan domestik dan pemulihan eksport.

"Pada masa yang sama, pelabur asing menjadi pembeli bersih selepas aliran keluar selama berminggu-minggu, manakala pasaran bon Malaysia terus menyaksikan permintaan yang kukuh  - satu petanda bahawa minat terhadap aset ringgit dari luar negara tidak berkurangan," katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 8.10 mata kepada 1,617.57 daripada 1,625.67 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 58.04 mata kepada 11,996.81, Indeks FBMT 100 berkurangan 52.95 mata kepada 11,770.11, dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 66.49 mata kepada 11,992.68.

Indeks FBM ACE turun 42.17 mata kepada 4,941.59 dan Indeks FBM 70 susut 49.84 mata kepada 16,841.03.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 96.55 mata kepada 8,236.63, Indeks Tenaga naik sedikit sebanyak 0.35 mata kepada 755.96 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.06 mata kepada 164.93 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 55.34 mata kepada 18,376.0.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 21.84 bilion unit bernilai RM14.44 bilion daripada 14.56 bilion unit bernilai RM11.17 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 7.41 bilion unit bernilai RM11.50 bilion daripada 5.98 bilion unit bernilai RM9.47 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 11.89 bilion unit bernilai RM2.08 bilion daripada 6.73 bilion unit bernilai RM1.08 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 2.53 bilion unit bernilai RM858.82 juta daripada 1.83 bilion unit bernilai RM611.92 juta pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan