KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Selangor FC merakam kemenangan kedua berturut-turut buat kali pertamanya musim ini, untuk terus mengekalkan cabaran dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC, 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.
Skuad Gergasi Merah bermula agresif, sebelum berjaya memperoleh jaringan pembukaan menerusi penyerang import Alvin Fortes pada minit ke-20.
Selangor menggandakan tekanan memasuki babak kedua dan usaha itu membuahkan hasil apabila penyerang import dari Brazil Chrigor Moraes, meledak gol kedua pada minit ke-54.
Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan pengendali sementara Christophe Gamel naik ke tangga keempat Liga Super dengan mengumpul 16 mat,a di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (30 mata) diikuti Kuching City dan Kuala Lumpur City FC yang berkongsi 20 mata di tempat kedua dan ketiga.
Di KUCHING, Kuching City FC meraih kemenangan penting untuk naik ke tangga kedua liga selepas menewaskan DPMM FC 1-0 pada pertembungan di Stadium Negeri Sarawak.
Aksi babak pertama pertembungan “Borneo Derby” itu menyaksikan permainan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan, namun buntu menemui jaringan.
Bersambung babak kedua perlawanan, tuan rumah terus mengasak kubu pelawat sebelum akhirnya menjaringkan gol kemenangan menerusi Ramadhan Saifullah pada minit ke-69.
Pada penghujung perlawanan, permainan menjadi “panas” apabila jaringan pemain DPMM FC Prosper Boakye pada masa tambahan separuh masa kedua (minit 90+1) dibatalkan, hasil semakan video bantuan pengadil (VAR).
Skuad pelawat terus dilanda malang apabila Fairuz Zakaria dikenakan kad merah apabila mengasari Scott Philip Galang Woods di penghujung masa tambahan separuh masa kedua.
Terdahulu, Di SEREMBAN, Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila seri 1-1 ketika menentang Terengganu FC (TFC), yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Pasukan pelawat menerima tamparan awal apabila Kyaw Min Oo dilayangkan kad merah kerana mengasari Jovan Motika di luar kotak penalti pada minit ke-15 sebelum NSFC berjaya memecah kebuntuan menerusi gol jarak jauh Luqman Hakim Shamsuddin pasa masa tambahan separuh masa pertama.
Bagaimanapun, kelekaan di hujung perlawanan membawa padah buat pasukan tuan rumah Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili meledak gol penyamaan pada masa tambahan sekali gus menafikan tiga mata NSFC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial