POLITIK

PRN Sabah: 596 Calon, 14 Penjuru Meraikan Demokrasi Atau Kecelaruan Politik?

23/11/2025 12:43 PM

Oleh FADZLI RAMLI

KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Sebanyak 596 calon mengesahkan pencalonan bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 15 Nov lepas, berbanding 447 calon semasa PRN ke-16 pada 2020.

Fenomena itu memberikan kesan besar dengan pertandingan tertinggi 14 penjuru di DUN Tulid, diikuti 13 penjuru di Bandau, Tamparuli, Inanam dan Kapayan manakala Banggi dan Moyog masing-masing 12 penjuru. Paling sedikit ialah Senallang dan Merotai dengan empat penjuru.

Situasi itu secara teorinya memperlihatkan demokrasi diraikan, namun timbul persoalan sama ada ia akibat kecelaruan politik di Sabah yang terkenal dengan dinamika politiknya tersendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah Prof Madya Datuk Dr Ramzah Dambul berkata peningkatan mendadak bilangan calon mencerminkan keterbukaan sistem demokrasi di negeri itu namun turut membawa cabaran tersendiri.

“Secara teorinya, banyak calon bermakna rakyat mempunyai lebih banyak pilihan dan ini adalah ciri demokrasi yang sihat. Namun, kita juga perlu sedar terlalu banyak calon boleh menyebabkan undi berpecah dan mengelirukan pengundi,” katanya kepada Bernama.

-- LAGI

 

PRN-DEMOKRASI 2 KOTA KINABALU

 

Beliau berkata fenomena itu juga menunjukkan tahap ketidakpuasan hati terhadap parti politik sedia ada yang mendorong ramai individu tampil sebagai calon bebas atau mewakili parti kecil.

Ramzah berkata PRN Sabah kali ini menyaksikan penyertaan 24 parti politik dan 74 calon bebas, termasuk calon bebas yang bergabung dalam gerakan ‘Gelombang Hitam’ yang mengusung agenda politik masing-masing.

“Penyertaan calon bebas dan parti kecil ini menunjukkan rakyat mahukan alternatif baharu. Bagaimanapun daripada sudut kejuruteraan politik, ia boleh menyebabkan undi reformasi berpecah dan menguntungkan parti memerintah,” jelasnya.

Beliau membandingkan situasi itu dengan PRN Sarawak 2021 yang hanya menyaksikan 349 calon untuk 82 kerusi DUN dengan purata 4.3 calon setiap kerusi, berbanding Sabah dengan purata 8.2 calon setiap kerusi.

Ramzah  berkata dalam PRN Sabah 2020, sebanyak 275 daripada 447 calon hilang wang deposit atau kira-kira 62 peratus, menunjukkan ramai calon tidak mempunyai sokongan kuat di lapangan tetapi masih mahu bertanding dengan alasan ‘meraikan demokrasi’.

“Statistik ini menunjukkan bahawa tidak semua yang bertanding mempunyai peluang sebenar untuk menang. Mereka mungkin bertanding atas dasar idealisme atau untuk menguji populariti sahaja,” katanya.

Ramzah berharap selepas PRN ini, semua pihak dapat menerima keputusan rakyat dengan matang. Pihak yang menang perlu memberi tumpuan kepada pembangunan negeri manakala yang kalah terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang membina.

“Demokrasi bukan sekadar bertanding dan menang. Ia mengenai bagaimana kita menghormati proses, menerima keputusan rakyat dan bekerja bersama untuk kemajuan Sabah,” katanya.

Penyelidik Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid pula berkata PRN kali ini menyaksikan calon yang terlalu ramai, menimbulkan persoalan tentang kestabilan politik di negeri itu.

“Amalan demokrasi sihat atau pengurusan parti politik terlalu longgar? Ada yang kata dalam media ini amalan demokrasi sihat kerana pertandingan terbuka tetapi persoalan saya sekarang adakah ini disebabkan parti dan kestabilan politik yang lemah.

“Empat penjuru hanya dua kawasan, sampai 14 penjuru. Memilih calon, pengundi boleh jadi pening dan perlu membuat kajian amat teliti bagi membuat pemilihan tepat. Pendapat saya, ramai penduduk tidak memahami prinsip demokrasi secara mendalam dan tidak memikirkan nilai sebenar undi mereka,” katanya.

Mohd Noor berkata pertandingan banyak penjuru sebenarnya tidak menunjukkan kematangan politik seperti di  Amerika Syarikat dan pertandingan banyak penjuru itu sudah jarang berlaku di Semenanjung.

Beliau berkata situasi itu akan menyebabkan pola pengundian berpecah dan tidak membantu dalam memilih calon yang tepat untuk mewakili kawasan terbabit. Maka berlaku calon yang menang dipilih bukan kerana dia terbaik, sebaliknya kerana masalah perpecahan undi.

“Akhirnya ini menghasilkan wakil rakyat yang kurang mutunya, seterusnya boleh menyebabkan tiada kemenangan mutlak bagi membentuk kerajaan negeri yang diperlukan,” katanya, sambil menambah PRN pada 2018 perlu dijadikan refleksi bagi mengelak perkara sama berulang pada PRN kali ini.

Beliau berkata PRN ketika itu menyaksikan Barisan Nasional dan kumpulan diketuai Parti Warisan masing-masing memenangi 29 kerusi DUN dan dua lagi dimenangi Parti Solidariti Tanah Airku, menyebabkan tiada mana-mana parti meraih majoriti.

“PRN itu membawa kepada adanya dua Ketua Menteri. Ini disebabkan faktor perubahan sokongan Ahli DUN antara dua kepimpinan itu. Tiada parti yang memperoleh majoriti, itulah yang menyebabkan segala kecelaruan itu.

“Adakah perkara ini berulang pada PRN kali ini? Kita minta jangan berulang tetapi dalam situasi ini kita harus memikirkan kerana Sabah ini sifat politiknya amat kompleks dan sukar dibaca,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 25 Nov bagi pengundian awal.

Untuk berita terkini tentang PRN Sabah Ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan