POLITIK

Hubungan Sabah-Putrajaya Perlu Diperkukuh Secara Harmoni Tanpa Konfrontasi - Hajiji

23/11/2025 03:05 PM

Oleh ROHANA NASRAH

KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Hubungan Sabah dan Putrajaya perlu terus diperkukuh menerusi pendekatan harmoni bagi memastikan setiap usaha membawa pembangunan mampan di negeri itu dapat dilaksanakan secara berkesan termasuk penyelesaian isu berkaitan tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata sebarang bentuk konfrontasi dengan Kerajaan Persekutuan hanya akan merugikan Sabah, sebaliknya pendekatan konstruktif dan perbincangan secara harmoni menjadi asas penting bagi menjamin kelancaran agenda pembangunan negeri.

Dalam isu pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah umpamanya, Hajiji berkata perbincangan dua hala antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan sudah dimulakan menerusi mesyuarat yang diadakan Isnin lepas bagi mencari mekanisme terbaik dalam menguruskan perkara itu.

“Kita berharap daripada itu, bermulalah kita cari satu formula bayaran macam mana untuk negeri Sabah dan hasil itu nanti ialah tujuannya untuk membangunkan Sabah,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, di sini, baru-baru ini.

Hajiji berkata meskipun ada sesetengah pemimpin Sabah lebih cenderung berkonfrontasi dengan Kerajaan Persekutan, namun beliau tidak bersetuju dengan pendekatan itu kerana tidak memberi manfaat kepada kemajuan negeri secara keseluruhannya.

“Saya tidak mahu menggunakan pendekatan (konfrontasi) begitu. Kalau kita gaduh untuk apa? Ada setengah pemimpin di Sabah, dia suka berkonfrontasi kerana mungkin tujuannya untuk dapat sokongan daripada rakyat Sabah.

“Kita tidak boleh ambil pendekatan seumpama itu dan saya tidak boleh buat begitu kerana bagi saya kita mesti harmonikan keadaan kerana ini negara kita,” katanya.

Menurut Hajiji, Kerajaan Persekutuan meluluskan banyak permohonan pembangunan kepada Sabah sepanjang beliau menjadi Ketua Menteri dan semua itu adalah hasil daripada kerjasama erat antara kedua-dua pihak yang membawa kesepakatan dalam setiap perundingan.

Beliau berkata antara kejayaan dicapai ialah pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) pada Disember 2021, yang sekali gus melakarkan lembaran baharu mengenai kerjasama dalam pembangunan industri minyak dan gas.

“Apa yang saya lakukan dalam lima tahun ini, walaupun tidak digembar-gemburkan tapi banyak kejayaan yang kita dapat. Ini perlu diteruskan. Hubungan negeri dan Persekutuan mesti mesra dan rapat supaya kita dapat majukan lagi Sabah pada masa akan datang,” katanya.

Antara kejayaan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Hajiji termasuk menerima bantuan kewangan RM320.25 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk membantu mempercepat pelan jangka pendeknya dalam menangani krisis air di negeri itu.

Ia merangkumi pelaksanaan enam program terdiri daripada 20 projek di seluruh negeri termasuk sembilan bagi daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

Selain itu, Negeri di Bawah Bayu turut meneruskan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan prestasi bekalan elektrik negeri, antara lain berdasarkan kuasa kawal selia tersebut dengan sasaran ditetapkan dalam Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040.

Sabah turut menyaksikan Kerajaan Persekutuan menaikkan sekali ganda jumlah pemberian geran khas interim kepada RM600 juta bermula tahun ini, selain menjadi negeri menerima peruntukan pembangunan terbesar dalam Belanjawan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan