EKONOMI

Banjir Di Hatyai: Kementerian Pertahanan Sedia Bantu Thailand

23/11/2025 03:20 PM

TAWAU, 23 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertahanan sedia memberikan bantuan kepada Thailand dalam menghadapi bencana banjir di Hatyai sekiranya diperlukan, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bagaimanapun, beliau yakin Thailand seperti juga Malaysia, mempunyai kemampuan untuk mengurus bencana banjir dengan baik.

“Seperti Malaysia, (kita) tidak serta-merta panggil negara lain untuk terus datang meminta bantuan, namun untuk bencana banjir (di Hatyai), jika ada apa-apa keperluan, barulah pihak kita berbincang, kita tidak boleh terus masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kem Kubota di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di Hatyai dan kawasan sekitar terkesan akibat banjir, namun kesemua mereka dilaporkan selamat.

Sebelum itu, Kementerian Luar turut menasihati rakyat Malaysia yang berada di Hatyai dan kawasan sekitar supaya kekal berada di dalam bangunan sekiranya boleh, termasuk mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan sentiasa berhati-hati di kawasan terjejas banjir.

Rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan Konsulat Jeneral Songkhla atau Kedutaan Besar di Bangkok juga digesa supaya berbuat demikian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan