JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Larang Orang Ramai Hampiri Kawasan Pantai Musim MTL

23/11/2025 06:23 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Nov (Bernama) -- Polis mengingatkan orang ramai agar tidak berkumpul atau melakukan sebarang aktiviti rekreasi di pesisir pantai pada musim Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata ia susulan keadaan laut yang bergelora dan ombak besar yang melanda Terengganu, beberapa hari kebelakangan ini.

Beliau berkata antara lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai ialah Pantai Batu Buruk dan Pantai Pandak di Kuala Terengganu, Pantai Seberang Takir serta Pantai Tok Jembal di Kuala Nerus.

“Keadaan pada masa ini tidak sesuai dan amat bahaya untuk sebarang aktiviti di tepi pantai. Ombak besar turut membawa batu-batu, kayu-kayu serta sampah sarap yang boleh mengundang risiko kecederaan.

“Oleh itu orang ramai dinasihat supaya mengelak sebarang aktiviti air sepanjang musim MTL,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu Azli berkata orang ramai juga diiingatkan supaya mematuhi semua papan tanda amaran serta bendera merah yang dipasang Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sepanjang pantai berisiko.

Sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk, beliau meminta orang ramai supaya peka dengan sebarang arahan berpindah atau amaran keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Ibu bapa juga perlu memantau pergerakan anak-anak di kawasan rendah yang mudah dinaiki air kerana dibimbangi berlaku kejadian lemas atau terperangkap dalam arus deras.

“Polis akan meningkatkan rondaan di kawasan berisiko dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan orang ramai," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan