KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Perlis menjadi negeri terbaharu dilanda banjir, manakala jumlah mangsa bencana itu di Kelantan, Kedah dan Terengganu yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat setakat petang ini.
Di PERLIS, lebih 200 mangsa di sekitar daerah Padang Besar ditempatkan di tiga PPS yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tinggi, SK Lubuk Sireh dan SK Felda Mata Air.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata terdapat enam kawasan terjejas iaitu Kampung Titi Tinggi, Kampung Jalan Sahabat, Kampung Guar Tinggi, Kampung Bukit Cabang, Kampung Wang Kelian dan FELCRA Lubuk Sireh.
“Hujan berlaku sejak semalam dan air mula naik di kawasan terlibat kira-kira 6 pagi tadi. Pihak APM Perlis akan terus memantau situasi banjir dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, menurut Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di KELANTAN meningkat kepada 5,463 orang daripada 2,047 keluarga petang ini berbanding 1,623 orang pagi tadi yang ditempatkan di 26 PPS di empat jajahan terjejas iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.
Berdasarkan Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air Sungai Melor di Jambatan Melor, Bachok berada pada paras 7.46 meter, melebihi tahap waspada tujuh meter.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 356 orang daripada 106 keluarga setakat 3 petang berbanding 225 orang daripada 66 keluarga, pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dari daerah Kulim ditempatkan di PPS Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang, Surau Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Naga Lilit dan SK Permatang Tok Dik.
“Mangsa adalah penduduk dari sembilan kampung antaranya Kampung Siam, Kampung Bukit Sarang Ayam, Kampung Paya Serdang, Kampung Titi Tok Aris dan Kampung Padang Cina,” menurut kenyataan itu.
Jumlah mangsa banjir di TERENGGANU turut meningkat kepada 531 orang daripada 146 keluarga setakat 3 petang ini, berbanding 264 mangsa daripada 87 keluarga pagi tadi.
Berdasarkan laman web InfoBencana JKM, Besut menjadi daerah kedua dilanda banjir dengan 244 mangsa daripada 65 keluarga berlindung di dua PPS iaitu SK Kuala Besut dan SK Pulau Perhentian, manakala Kuala Nerus mencatatkan 287 mangsa daripada 81 keluarga di PPS Masjid Pulau Redang.
Dalam pada itu, situasi banjir di Hat Yai, THAILAND semakin pulih dengan paras air mula surut dan operasi pemindahan rakyat Malaysia berjalan lancar.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata pihaknya serta pihak berkuasa tempatan sedang berusaha memindahkan rakyat Malaysia dari kawasan banjir ke lokasi yang lebih selamat.
“Hat Yai masih mengalami hujan, namun paras air banjir sudah menurun dari paras dada semalam kepada paras lutut hari ini… bantuan makanan dan proses pemindahan sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pejabat Konsulat dalam kenyataan turut meminta semua rakyat Malaysia yang terkandas di hotel di sekitar Hat Yai bersedia di lobi penginapan masing-masing bagi memudahkan operasi pemindahan sementara ke kawasan selamat oleh pihak berkuasa tempatan.
Semalam, Kementerian Luar memaklumkan kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di Hat Yai dan kawasan berhampiran terkesan akibat banjir, namun semuanya dilaporkan selamat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial