POLITIK

Momentum PH Sabah Semakin Meningkat Selepas Seminggu Berkempen

23/11/2025 06:58 PM

KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Seminggu selepas hari penamaan calon, Pakatan Harapan (PH) Sabah melihat momentum gerak kerja kempennya semakin memberangsangkan, hasil persiapan awal yang telah dijalankan di kawasan tumpuan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata walaupun tempoh rasmi kempen baharu memasuki minggu kedua, jentera PH sebenarnya telah bergerak aktif sejak tiga hingga empat bulan lepas bagi memastikan setiap calon bersedia sepenuhnya pada peringkat akar umbi.

“Alhamdulillah setakat ini, sebenarnya tempoh berkempen kita bukan seminggu. Kita sudah lebih awal daripada itu, saya rasa tiga empat bulan yang lepas. Kita sudah mula bergerak di DUN-DUN tumpuan kita.

“Seminggu ini, dari segi kempen, kita semakin baik dan dari segi laporan yang kita dapati, prestasi calon-calon kita semakin baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan manifesto parti itu, di sini hari ini.

Manifesto yang dinamakan “Komitmen Pakatan Harapan Sabah” yang menggariskan 10 senarai keutamaan dengan tujuh agenda, turut disempurnakan Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Amanah Sabah Datuk Lahirul Latigu.

Mustapha berkata beliau yakin penerangan mengenai manifesto PH Sabah yang dibentangkan hari ini akan meningkatkan sokongan terutama daripada pengundi atas pagar, yang disifatkannya sebagai penentu masa depan negeri.

“Jadi kita harap dengan kita terangkan komitmen kita pada hari ini, semakin ramai, terutama pengundi-pengundi atas pagar akan dapat mengundi kita. Sebab ini masa depan mereka. Terutama generasi muda.

“Kita mohon supaya mereka dapat meneliti komitmen ini dan kita harap mereka akan dapat memberi peluang kepada calon-calon kita, calon-calon Pakatan Harapan, untuk mereka menjadi wakil suara mereka dalam Dewan Undangan Negeri dan juga akan dapat menjadi sebahagian daripada kabinet negeri, untuk kita merencana polisi dan dasar yang kita garis-gariskan,” katanya.

Pada PRN Sabah ke-17, PH bertanding di 21 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 12 daripadanya daripada PKR, DAP (lapan) dan Amanah (satu).

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov, manakala undi awal berlangsung pada 25 Nov.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan