AM

Banjir: Calon SPM Di PPS Bertahan Dengan Telefon Dan Semangat

24/11/2025 02:16 PM

KOTA BHARU, 24 Nov (Bernama) -- Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan bermula esok di seluruh negara, namun bagi calon yang menjadi mangsa banjir di Kelantan, hanya kecekalan dan semangat yang menjadi bekalan untuk mengulang kaji pelajaran mereka.

Hal ini kerana kebanyakan nota yang disediakan dan buku rujukan tidak sempat diselamatkan berikutan paras air banjir yang naik mendadak dan berlaku sekelip mata sahaja.

Di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, di sini, kelihatan beberapa calon SPM duduk bersila berdekatan dengan suis elektrik untuk mengecas telefon bimbit mereka, satu-satunya peralatan yang tinggal untuk mengulang kaji soalan ramalan.

Nik Mohd Idham Nik Abdul Rahim, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji berkata banjir kali ini bukan sahaja memusnahkan buku nota dan rujukan, tetapi juga rutin peperiksaan yang sepatutnya teratur dan lancar.

"Saya keluar dari rumah sehelai sepinggang. Baju ada bawa, tetapi semua nota habis ditinggalkan, tidak sempat nak fikir apa-apa, saya hanya bergantung pada telefon yang sempat dicapai sebelum keluar menyelamatkan diri.

"Saya rasa berdebar, peperiksaan akan berlangsung esok, jadi saya mencari penjuru yang tidak bising untuk ulang kaji, tetapi fikiran saya bercelaru kerana laluan untuk ke sekolah pun sekarang dah tenggelam," katanya kepada pemberita di PPS itu hari ini.

Mohd Faris Aiman Mohd Azri, 17, dari SMK Tanjong Mas pula mengakui persediaannya kini bergantung semata-mata pada nota yang dihantar oleh guru melalui aplikasi WhatsApp.

“Buku langsung tidak sempat ambil. Air masuk ke dalam rumah terlalu cepat. Ulang kaji guna telefon pun rasa lain, tetapi dapatlah kurangkan rasa cemas,” katanya.

Bagi Wan Muhammad Radhi Wandee, 17, calon SPM dari SMK Kota Bharu, menjadi mangsa banjir dan ditempatkan di PPS SK Islah, di sini tidak menghalang dirinya untuk berhenti membuat persediaan menduduki peperiksaan penting itu, walaupun ada kalanya bising dan kurang selesa.

"Saya dan keluarga terpaksa berpindah ke PPS selepas kediaman kami dinaiki air pada petang Sabtu. Walaupun diuji, keadaan ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengulang kaji pelajaran dan menjawab kertas pertama Bahasa Melayu esok.

"Ibu saya, Siti Rahmah Abdul Manaf, 38, juga sentiasa memberikan semangat dan sokongan untuk saya kekal fokus," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Kementerian Pendidikan memberikan tumpuan penuh pada persiapan dan kesiapsiagaan menghadapi banjir susulan cuaca tidak menentu dalam tempoh dua hingga tiga hari ini, terutama melibatkan kelancaran peperiksaan SPM.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata keutamaan kini ialah memastikan calon SPM dapat menduduki peperiksaan tanpa halangan, selain menguruskan keselamatan pelajar di kawasan berisiko banjir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan