EKONOMI

Premier Abang Johari Umum Belanjawan Sarawak 2026 Sebanyak RM12.9 Bilion

24/11/2025 03:17 PM

KUCHING, 24 Nov (Bernama) -- Belanjawan Sarawak 2026 berjumlah RM12.9 bilion merangkumi RM7.3 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM5.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus, kata Premiernya Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bertemakan “Memperkasa Rakyat, Memajukan Kemakmuran, Membina Masa Depan Berdaya Tahan” beliau berkata belanjawan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, katanya, belanjawan berkenaan akan memperkukuh kesejahteraan sosial dan mempercepat pembangunan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Dengan unjuran perolehan sebanyak RM13.05 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa sebanyak RM12.91 bilion, Belanjawan Sarawak 2026 dijangka menghasilkan lebihan sebanyak RM144 juta,” katanya ketika membentangkan belanjawan tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Abang Johari berkata sejumlah RM6.1 bilion atau 66 peratus daripada keseluruhan belanjawan pembangunan akan diperuntukkan untuk inisiatif pembangunan luar bandar termasuk jalan raya, utiliti dan projek sosioekonomi.

Katanya, peruntukan berkenaan akan digunakan iaitu RM350 juta untuk Projek Transformasi Luar Bandar; RM315 juta untuk Agensi Pembangunan Wilayah; RM267 juta untuk Program Projek Khas dan RM100 juta untuk pelaksanaan Projek Rakyat.

“Belanjawan ini terus memberi keutamaan kepada program berimpak tinggi yang akan mengukuhkan ketahanan ekonomi jangka panjang Sarawak,” katanya.

Sementara itu, perbelanjaan mengurus akan menampung komitmen pentadbiran negeri yang merangkumi RM1.4 bilion untuk emolumen kakitangan, RM2.2 bilion untuk bekalan dan perkhidmatan, RM1.8 bilion untuk geran dan bayaran tetap, RM99 juta untuk perolehan aset dan RM150 juta untuk keperluan operasi lain.

Abang Johari berkata Sarawak kekal komited kepada ketelusan serta disiplin fiskal sambil memastikan pembangunan terus sampai ke setiap wilayah terutamanya kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau menambah, negeri ini akan terus mempelbagaikan sumber hasilnya selain memperkukuh sektor strategik sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dan lestari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan