AM

Asmah Mansor Dijangka Tiba Malam Ini - Mohd Na'im

24/11/2025 04:10 PM

PUTRAJAYA, 24 Nov (Bernama) -- Jemaah haji Asmah Mansor yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Saudi German Hospital di Makkah sejak 13 Sept dijangka tiba di Malaysia malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata usaha membawa pulang diselaraskan Tabung Haji (TH) dan ketibaan Asmah, 71, tertakluk kepada koordinasi akhir  melibatkan urusan penerbangan, dokumentasi serta pengesahan kesihatan.

“(Koordinasi akhir) meliputi pihak berkuasa berkaitan termasuk agensi berautoriti di Arab Saudi. Semoga semua urusan berjalan lancar. Saya mohon seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan misi dipermudah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im mewakili kerajaan merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas keprihatinan, sokongan dan sumbangan termasuk wang tunai untuk membantu keluarga Asmah.

“Keprihatinan rakyat mencerminkan semangat persaudaraan dan kasih sayang sesama umat. Saya turut mengucapkan tahniah kepada TH serta kerajaan Arab Saudi atas kerjasama dan komitmen menjayakan misi ini,” katanya. 

Sebelum ini, Mohd Na’im berkata misi membawa pulang Asmah yang dirawat di Makkah akibat pneumonia dimulakan setelah jumlah sumbangan untuk membiayai kos itu, iaitu kira-kira RM500,000 mencukupi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan