AM

Perjanjian ART: Tiada Kompromi Keselamatan Infrastruktur ICT Negara - Teo

24/11/2025 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Kedaulatan serta keselamatan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara kekal dilindungi di bawah undang-undang Malaysia dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata semua perkara melibatkan infrastruktur ICT seperti liputan 5G, 6G, satelit komunikasi dan kabel dasar laut tertakluk sepenuhnya di bawah undang-undang dan peraturan domestik Malaysia, khususnya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). 

Teo menegaskan peruntukan dalam Perjanjian ART Malaysia-AS itu tidak memberikan sebarang kuasa veto kepada mana-mana pihak terhadap pendirian Malaysia berhubung perkara yang berpotensi menjejaskan keselamatan.

“Klausa dalam ART itu menyatakan bahawa Malaysia komited untuk hanya menggunakan pembekal teknologi komunikasi yang tidak menjejaskan perlindungan keselamatan dan infrastruktur harta intelek ICT.

"Malaysia dan AS akan berunding sama ada pembekal dapat memenuhi permintaan ini (klausa) obligasi Malaysia setakat ini adalah untuk berunding, ini bermakna mana-mana pihak termasuk AS tidak mempunyai kuasa veto bagi pihak Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Teo berkata Malaysia menunggu maklum balas rasmi syarikat platform media sosial berhubung keupayaan mereka melaksanakan sistem pengesahan umur menggunakan proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) sebelum memuktamadkan had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun.

“Setakat ini kita memang harap (penyedia) platform boleh melaksanakan e-KYC untuk memastikan bahawa tiada yang berumur 16 tahun ke bawah boleh buka akaun media sosial. Tetapi ini memang kami akan maklumkan kepada (penyedia) platform dan kita akan tengok maklum balas daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata pendekatan Malaysia yang menuntut pengesahan umur menggunakan dokumen identiti berbeza daripada Australia, yang akan melaksanakan penjaminan umur tanpa dokumen bermula 4 Dis ini.

Teo berkata keberkesanan dasar itu memerlukan kerjasama ibu bapa memantau kandungan yang diakses anak kerana larangan membuka akaun media sosial tidak bermakna mereka tidak boleh menggunakan Internet. 

“Tidak mungkin pada zaman ini kita larang anak-anak untuk menggunakan Internet...tetapi tanggungjawab sebagai ibu bapa ialah memastikan mereka tahu kandungan yang sesuai atau tidak untuk diakses,” katanya sambil menegaskan pentingnya sokongan politik untuk melaksanakan pengesahan umur secara berkesan.

Sebagai usaha meningkatkan literasi digital generasi muda dan menangani ketagihan media sosial, Teo berkata kementerian itu bersama Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri dan agensi lain turut memperhebat Kempen Internet Selamat sejak Januari melibatkan pelajar sekolah.

Selain itu, beliau merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada produksi Malaysia yang merangkul enam trofi pada Anugerah Golden Horse ke-62 di Taiwan baru-baru ini. 

“Pencapaian ini menunjukkan bahawa industri filem negara semakin menyerlah dan akan terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Malah filem Mother Bhumi terbitan Janji Pictures yang memenangi anugerah itu adalah penerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) bagi kategori Dana Pasca Produksi 2025,” katanya. 

Sehubungan itu, Teo berkata kerajaan akan terus memberikan geran khas penerbitan filem dan kandungan kreatif bagi menyokong penghasilan lebih banyak karya berkualiti termasuk Dana Khas Produksi Citra Nasional dan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) bagi penerbitan kandungan bergenre kenegaraan, budaya dan perpaduan nasional.

Persidangan bersambung esok. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan