AM

Bigben Beroperasi 24 Jam, Lebih 13,000 Mangsa Banjir Direkodkan - Nanta

24/11/2025 09:35 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Bilik Gerakan Bencana JKR Malaysia (BIGBEN) telah diaktifkan ke Tahap 3 dengan beroperasi penuh 24 jam berikutan situasi banjir dan tanah runtuh yang semakin membimbangkan di beberapa negeri khususnya di Pantai Timur, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata pengoperasian BIGBEN di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) itu bertujuan menyelaras semua data kerosakan infrastruktur di seluruh negara, memantau situasi di lapangan secara masa nyata, menyelaras pergerakan pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) serta berfungsi sebagai pusat rujukan utama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Semua JKR negeri turut diarah mengaktifkan bilik gerakan masing-masing dan membuat laporan kepada BIGBEN di peringkat Ibu Pejabat,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Nanta berkata berdasarkan laporan daripada pihak berkuasa, lebih 13,000 mangsa banjir direkodkan di lapan negeri dengan Kelantan menjadi negeri paling terjejas melibatkan lebih 9,000 mangsa yang kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 3.30 petang tadi, selain beberapa laporan berkaitan tanah runtuh termasuk berhampiran pangsapuri di Jalan Sepadu 6, Taman United, Seputeh, di sini.

“Saya merakamkan rasa simpati dan keprihatinan mendalam kepada semua mangsa, keluarga mereka serta rakyat yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh berpunca daripada hujan lebat sejak kebelakangan ini.

“Fenomena ini berlaku susulan Monsun Timur Laut  yang melanda negara ketika ini, dan ia merupakan cabaran tahunan terpaksa dihadapi rakyat dan kerajaan akibat perubahan cuaca,” katanya.

Beliau berkata sejurus menerima maklumat kejadian, Kementerian Kerja Raya telah menggerakkan pasukan teknikal JKR ke semua lokasi terjejas untuk menilai keselamatan dan melaksanakan pembaikan segera terhadap infrastruktur kritikal seperti jalan, saliran dan cerun.

“Laluan yang dikenal pasti berisiko tinggi turut ditutup sementara bagi mengelak sebarang kecelakaan, manakala pemantauan 24 jam dijalankan di zon berisiko dengan kerjasama agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan.

“Saya juga mengarahkan semua jabatan dan agensi di bawah kementerian ini, khususnya JKR untuk melipatgandakan pemantauan dan meningkatkan kehadiran di lapangan selain bekerjasama dengan komuniti setempat, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi terlibat bagi mendapatkan maklumat situasi terkini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan