KOTA KINABALU, 24 Nov (Bernama) -- Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog terus diperkukuh bagi memastikan kemenangan calon PH Remysta Jimmy Taylor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Naib Presiden PKR Datuk Seri R. Ramanan berkata kerjasama itu dizahirkan menerusi penyelarasan jentera pilihan raya antara kedua-dua gabungan.
“Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Bahagian UMNO Penampang merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Mohd Hasnol Ayub kerana secara terbuka dan tanpa sebarang keraguan bersedia bekerjasama sepenuhnya.
“Dalam masa tiga hari sahaja selepas berbincang, kita sudah melihat sokongan padu bukan sahaja daripada UMNO, malah MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Penampang yang komited membantu calon PH di Moyog,” katanya pada majlis perjumpaan BN DUN Moyog di Penampang, hari ini.
Sementara itu, Mohd Hasnol menegaskan bahawa pendirian BN Penampang adalah jelas kerana BN komited mendukung kerjasama BN-PH seperti diputuskan kepimpinan peringkat pusat secara bersama sebelum ini.
Beliau berkata kerjasama seumpama itu wajar diperluas ke DUN lain bagi memastikan semua jentera beroperasi dalam keadaan harmoni, sekali gus memudahkan usaha menterjemahkan visi dan agenda calon masing-masing untuk rakyat.
Mohd Hasnol turut menyifatkan Remystar, calon muda berusia 37 tahun itu, sebagai pemimpin berwibawa, matang dan berpotensi membawa pembaharuan kerana beliau mempunya visi yang jelas selaras keperluan rakyat di Penampang dan Moyog.
Dalam pada itu, Remystar berkata gabungan jentera dua gabungan itu merupakan satu bentuk sokongan yang dapat meningkatkan semangat kempen dan perlu bekerja keras menyantuni pengundi.
“Sudah tentu saya gembira, tetapi kita tidak boleh selesa. Kita perlu terus bekerja mendekati pengundi sebanyak mungkin untuk memastikan kemenangan di Moyog,” katanya.
Esok akan berlangsung pengundian awal PRN Sabah manakala hari mengundi ditetapkan pada Sabtu ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial