AM

Tren MySawasdee 1004, 1005 Dibatalkan Susulan Banjir Di Hat Yai - KTMB

25/11/2025 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) – Perkhidmatan tren MySawasdee 1004 dari KL Sentral ke Hat Yai pada Jumaat ini dan MySawasdee 1005 dari Hat Yai ke KL Sentral pada 1 Dis dibatalkan berikutan banjir yang melanda wilayah selatan Thailand.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan bencana alam itu menyebabkan penutupan landasan di beberapa kawasan sektor Padang Besar–Hat Yai, termasuk stesen Hat Yai.

“Keputusan ini dibuat selepas penilaian keselamatan dan operasi serta pengesahan daripada pihak berkuasa Thailand, dengan mengambil keselamatan penumpang sebagai keutamaan,” menurut kenyataan KTMB.

KTMB memaklmkan sebanyak 840 tiket telah ditawarkan bagi kedua-dua perjalanan tersebut. Pemulangan tambang penuh bagi penumpang yang membatalkan tiket akan dimasukkan ke dalam KTM Wallet mereka secara segera untuk digunakan bagi pembelian tiket pada masa hadapan.

Setakat ini KTMB memaklumkan seramai 652 penumpang masih belum membuat pembatalan tiket, manakala 188 lagi telah membuat pembatalan awal dan layak menerima baki pemulangan tambang.

Bagi urusan pemulangan tambang, penumpang yang membeli tiket dalam talian boleh membatalkannya melalui aplikasi KITS dengan memilih menu MyTicket, diikuti Upcoming Ticket dan Refund.

KTMB memaklumkan jadual perjalanan perkhidmatan MySawasdee seterusnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan situasi di Hat Yai.

“KTMB memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pihak sepanjang situasi ini,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan