AM

Kes Serang Wartawan: Fahmi Harap Siasatan Segera, Tidak Kompromi Aspek Keselamatan

25/11/2025 10:38 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berharap siasatan berhubung kejadian pukul melibatkan wartawan sukan dan Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Haresh Deol di Bangsar hari ini, dapat dijalankan segera.

Fahmi berkata keselamatan pengamal media, khususnya ketika mereka menjalankan tugas  tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.

"Saya dimaklumkan tentang insiden ini ketika menghadiri program di Kota Kinabalu, saya telah menghubungi saudara Haresh untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian yang berlaku petang tadi.

"Haresh memaklumkan bahawa beliau baru selesai membuat laporan polis dan sedang menyelesaikan urusan laporan perubatan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Haresh, yang merupakan pengasas bersama portal berita TwentyTwo13 menerusi hantaran di laman X memaklumkan diserang dua lelaki ketika menuju ke keretanya manakala seorang lagi individu merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan polis sedang mengesan tiga lelaki dipercayai terlibat kejadian itu yang berlaku di Jalan Maarof berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah, ketika Haresh sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan