PUTRAJAYA, 25 Nov (Bernama) -- Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2025 mencatat skor 0.708 pada 2024, meningkat 0.3 mata peratus berbanding 0.705 pada tahun sebelumnya yang dipengaruhi oleh pencapaian pendidikan, kesihatan dan kehidupan serta penyertaan dan peluang ekonomi.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata subindeks peluang dan penyertaan ekonomi meningkat dengan kadar penyertaan negara buruh (KPTB) perempuan merekodkan 56.5 peratus pada 2024 berbanding 56.2 peratus pada tahun sebelumnya.
"Purata gaji dan upah bulanan perempuan turut meningkat kepada RM3,499 tahun lepas berbanding RM3,311 pada 2023," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata subindeks pencapaian pendidikan pula menunjukkan prestasi cemerlang yang berterusan dengan kadar enrolmen perempuan pada peringkat rendah, menengah dan tinggi konsisten lebih tinggi berbanding lelaki.
Pada 2024, kadar enrolmen kasar bagi perempuan pada peringkat rendah dan menengah masing-masing ialah 100.3 peratus dan 95.7 peratus, manakala pada peringkat tinggi, perempuan merekodkan 56.4 peratus berbanding lelaki sebanyak 37 peratus.
Mohd Uzir berkata subindeks kesihatan dan kehidupan juga bertambah baik dengan mencatat skor 0.962 pada 2024 dengan jangka hayat ketika lahir bagi perempuan terus menunjukkan peningkatan, mencecah 77.6 tahun pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 12 tahun berbanding 65.6 tahun pada 1970.
"Pada 2024 juga, nisbah perempuan kepada lelaki meningkat kepada 0.940 susulan 200,999 kelahiran perempuan berbanding 213,919 kelahiran lelaki," katanya.
Beliau berkata subindeks penguasaan politik kekal sebagai dimensi yang paling mencabar dengan skor rendah pada 0.096 pada 2024 apabila wanita hanya mewakili 16.1 peratus daripada jumlah jawatan menteri, manakala perwakilan wanita di Dewan Rakyat ialah 13.5 peratus berbanding 86.5 peratus lelaki.
Bagi MGGI mengikut negeri, Mohd Uzir berkata tiga negeri teratas mencatat skor tertinggi pada 2024, iaitu Putrajaya (0.774), diikuti Kuala Lumpur (0.773) dan Labuan (0.750).
Beliau berkata enam negeri lain melepasi tahap nasional, iaitu 0.708 yang melibatkan Kelantan (0.729), Selangor (0.725), Negeri Sembilan (0.724), Perlis dan Perak (0.715), serta Kedah (0.713).
Selain MGGI yang menumpukan pengukuran jurang gender merentasi empat subindeks, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut mengeluarkan satu lagi penerbitan berkenaan pemerkasaan wanita, iaitu Statistik Pemerkasaan Wanita, Malaysia 2025 hari ini yang memberikan gambaran lebih luas tentang pencapaian wanita dan kedudukan sosioekonomi merentasi 11 domain.
Laporan Statistik Pemerkasaan Wanita itu menunjukkan bahawa penduduk perempuan dianggarkan sebanyak 16.2 juta (47.5 peratus) daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia sebanyak 34.1 juta pada tahun lepas.
Kadar kesuburan jumlah pada 2024 ialah 1.6 bayi dilahirkan bagi setiap wanita dalam lingkungan umur reproduktif, iaitu 15 hingga 49 tahun.
Sementara itu, Malaysia terus komited meningkatkan kesaksamaan gender dan memperkukuh hak wanita serta gadis dan mengiktiraf peranan penting mereka dalam membentuk masyarakat serta memacu kemajuan negara selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan dan Rancangan Malaysia Ke-13 yang memberikan penekanan terhadap pemerkasaan wanita.
"Langkah ini mencerminkan tekad kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai wanita menyertai dan terus kekal dalam tenaga kerja. DOSM kekal komited untuk mempertingkatkan pengumpulan, penganalisisan dan perkongsian data mengikut gender bagi menyokong inisiatif berasaskan gender serta menyumbang ke arah Malaysia yang lebih inklusif dan saksama," menurut kenyataan itu.
Laporan penuh dua penerbitan itu boleh dimuat turun secara percuma melalui portal DOSM, www.dosm.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial