LAHAD DATU, 26 Nov (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku Saleha Abdul Wahid mahu mewujudkan sebuah balai bomba di Tungku sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Saleha berkata tapak untuk membina balai bomba berkenaan telah tersedia sejak 2016 dan akan berusaha supaya pembinaan kemudahan itu dapat direalisasikan.
“Kalau bomba dari bandar Lahad Datu ke Tungku memerlukan dua jam setengah. Itu jika jalan raya dalam keadaan baik. Jika keadaan jalan tidak elok, hampir tiga jam,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Saleha berkata selain balai bomba, Tungku juga memerlukan kompleks sukan sebagai keperluan golongan belia yang juga 40 peratus pengundi di DUN itu.
Beliau berkata dengan wujudnya kompleks sukan itu, ia membolehkan belia menjalankan pelbagai aktiviti riadah, bersukan selain dapat meningkatkan dan menyerlahkan bakat golongan berkenaan.
Saleha juga mahu memberi fokus kepada program keagamaan dengan mewujudkan kelas mengaji dewasa di setiap masjid mahupun surau di Tungku.
“Kami semarakkan masjid dan surau, kami tahu banyak anak muda ini pandai mengaji tetapi mungkin ada juga yang kurang pandai. Jadi, kami giatkan aktiviti mengaji ini dalam kalangan anak-anak muda untuk mendekatkan golongan itu kepada agama.
“Mungkin ada juga ibu-ibu kita, orang lanjut usia yang kurang arif dari segi mengaji al-Quran,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.p.
N60: TUNGKU: SABAH: 24,741
1. Saleha Abdul Wahid (BN-UMNO)
2. Suling Isib (STAR SABAH)
3. Assaffal @ Samsul Kamal P Alian (Warisan)
4. Jani Kulmen (PKS)
5. Jakaria Nasiran (PPRS)
6. Hairunnizam Kamsin (PIS)
7. Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan (GRS-Gagasan Rakyat)
(2020: Assaffal @ Samsul Kamal P Alian: Warisan Plus-Warisan: Maj: 268)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial