AM

Pegawai Bank Muamalat Juara Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia 2025

26/11/2025 10:00 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pegawai Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohamad Raziekh Md Rizal dinobatkan juara Pertandingan Pidato Piala Gabenor (PPG) Bank Negara Malaysia (BNM) 2025 pada saingan akhir di sini hari ini.

Mohamad Raziekh, 27, menambat hati juri dengan persembahan bertenaga ketika membawakan pidato bertajuk “Malaysia: Obor Harapan ASEAN” walaupun mengakui hanya mempunyai waktu singkat untuk menghafal teks.

“Ini merupakan penyertaan pertama selepas lebih sedekad meninggalkan dunia pidato. Saya amat berterima kasih kepada senior yang merupakan pemenang 2023 atas bimbingan sehingga saya menjadi juara,” katanya kepada Bernama.

Pegawai Bahagian Kewangan dan Pelaporan Kawal Selia itu berkata memilih topik tersebut kerana selaras tema diberikan, iaitu “Memperkasakan Rangkuman Kewangan: ASEAN ke Arah Kemakmuran Bersama” dan “Malaysia Sebagai Pemangkin Kestabilan Ekonomi dan Kewangan ASEAN”.

“Kami diberikan tema ASEAN, jadi saya pilih untuk menumpukan kepada potensi Malaysia yang memiliki banyak inovasi dan potensi,” katanya. 

Selaku juara Mohamad Raziekh menerima wang tunai RM10,000, piala PPG, piala iringan, buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta sijil penyertaan.

Pada pertandingan itu, peserta daripada Generali Insurance Malaysia Bhd Nur Atikah Abd Hamid muncul naib johan manakala wakil Bank Simpanan Nasional Mohamad Amirul Haziq Anuar tempat ketiga.

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM7,000 dan RM5,000, piala iringan, buku terbitan DBP serta sijil penyertaan.

Nurul Atikah berkata pertandingan seperti itu penting, terutamanya dalam “memanusiakan” angka atau data bagi menyampaikan maklumat kewangan dalam Bahasa Kebangsaan supaya lebih mudah diterima dan difahami masyarakat.

Hadiah disampaikan Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan disaksikan Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari.

Sementara itu, Abdul Rasheed semasa berucap berkata BNM sentiasa komited memartabatkan Bahasa Kebangsaan dan menitikberatkan kepentingannya dalam perkhidmatan kewangan melalui Garis Panduan Ketelusan dan Penzahiran Produk. 

“BNM juga menghendaki institusi kewangan mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam penzahiran maklumat produk kepada pengguna kewangan dan menggunakan laras bahasa difahami rakyat,” katanya.

Bagi memperkasakan lagi bahasa Melayu, beliau berkata BNM bekerja rapat dengan DBP dan rakan strategik lain untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bahasa dengan penglibatan institusi di bawah pengawalseliaan serta dalam BNM sendiri. 

Ini termasuk penganjuran Pertandingan PPG bagi sektor kewangan sejak 2009 dan memperkenalkan Sistem Penarafan Bintang pada 2016 bagi menjalankan audit bahasa ke atas institusi kewangan.

PPG Bank Negara Malaysia 2025 berlangsung pada 15 Nov melibatkan 43 peserta daripada 26 institusi kewangan dengan lapan orang daripada enam institusi ke pusingan akhir hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan