KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Malaysia tidak pernah campur tangan dalam konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja, susulan protes yang berlaku di Bangkok baru-baru ini, yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam isu berkenaan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata protes tersebut dianjurkan parti pembangkang di Thailand yang sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau berkata protes itu tidak membawa implikasi serius terhadap imej Malaysia di rantau ASEAN.
“Protes ini dijadikan modal oleh parti pembangkang (Thailand) yang kecil jumlahnya untuk mereka menghadapi pilihan raya bakal diadakan.
“Untuk mengatakan bahawa Malaysia, khususnya Perdana Menteri campur tangan itu satu perkara yang amat salah kerana Malaysia tidak pernah campur tangan. Sejak daripada dulu lagi kita menjunjung semangat ASEAN iaitu tidak ada campur tangan hal ehwal negara-negara dalam ASEAN,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang meminta penjelasan mengenai pendirian rasmi kerajaan susulan protes di Bangkok, yang mendakwa campur tangan Anwar dalam konflik Thailand-Kemboja serta implikasi jangka panjang protes itu terhadap imej Malaysia.
Mohamad berkata Malaysia hanya berperanan sebagai pemudah cara dalam rundingan antara Thailand dan Kemboja bagi memastikan kedua-dua pihak dapat berunding secara aman dan neutral tanpa campur tangan hal ehwal dalaman masing-masing.
Beliau berkata kedua-dua negara tersebut telah meminta Malaysia menjadi tuan rumah bagi membolehkan rundingan damai berlangsung secara adil termasuk terma-terma bagi pelaksanaan gencatan senjata.
“Kita bukan penyelaras, kita hanya pemucah cara. Kita memudah cara,” katanya sambil menambah Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip ASEAN yang menekankan kebebasan campur tangan.
Sehubungan itu, Mohamad memberi jaminan Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara yang dipercayai negara-negara jiran.
Beliau berkata usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen Malaysia untuk memastikan ASEAN kekal sebagai rantau yang aman, sejahtera dan bebas campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggotanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial