KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyediakan penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma kepada mangsa banjir yang kehilangan atau dokumen rosak.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggantian dokumen membabitkan MyKad, Sijil Kelahiran, Sijil Kematian, Sijil Perkahwinan (Sivil), Sijil Kewarganegaraan serta lain-lain dokumen rasmi JPN.
“Dalam apa jua musibah yang menimpa, saya ingin mengingatkan semua yang terkesan agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga. Insya-Allah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi-agensi terkait akan membantu mempermudah urusan dokumen diri rakyat Malaysia yang terkesan dengan cabaran, seperti musibah banjir yang besar sekarang ini.
“Insya-Allah Kerajaan MADANI sentiasa prihatin membantu rakyat, khususnya ketika berdepan ujian dan kesulitan, memastikan segala bentuk bantuan disampaikan dengan cepat, cekap dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Bagi memudahkan urusan rakyat, Saifuddin Nasution berkata JPN turut menggerakkan perkhidmatan penggantian secara mudah alih ke kawasan terjejas sebaik sahaja laluan selamat dapat diakses.
Langkah itu adalah bagi memastikan bantuan dapat disampaikan terus kepada mereka yang memerlukan tanpa menambah beban sedia ada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial