POLITIK

BN Yakin Pada Landasan Terbaik Walau Pertaruh Calon "Underdog" - Ahmad Zahid

27/11/2025 05:05 PM

KIMANIS, 27 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) yakin berada pada landasan terbaik untuk meraih sokongan pengundi menjelang pusingan terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, meskipun semua calonnya dianggap sebagai ‘underdog’ atau bukan pilihan.

Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendekatan turun menyantuni pengundi secara konsisten telah memberikan impak positif terhadap penerimaan masyarakat pada pelbagai Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Calon-calon BN ialah calon-calon 'underdog' dan kita bekerja dengan kaedah untuk menyantuni para pengundi, dan kita yakin dengan kerja-kerja yang telah dilakukan itu telah memuaskan hati pengundi-pengundi yang menjadi sasaran kepada kami. Insya-Allah mereka akan memberikan undi itu kepada kami,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sentuhan Kasih Desa @ Bongawan di sini hari ini.

Beliau berkata jentera BN sedang memperkemas gerak kerja terakhir bagi memastikan sokongan kekal kepada parti itu utuh sehingga hari pengundian.

“Bagaimanapun, kita harap di last lap atau pusingan yang terakhir ini, kita tidak mengalami sebarang masalah untuk memenangi kerusi-kerusi yang menjadi sasaran kemenangan kepada kita. Insya-Allah,” katanya.

Ditanya mengenai bentuk masalah yang dibimbangi, Ahmad Zahid memberikan contoh usaha pihak lawan menarik pengundi BN pada saat akhir.

“Dicuri oleh parti lain umpamanya … supaya tidak berlakulah. Saya minta pengundi-pengundi Barisan Nasional istiqamah, konsisten dan tetapkan pendirian. Kerana kalau mereka mahu dan rindu kepada BN, maka teruslah untuk mengundi calon-calon yang mewakili Barisan Nasional,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata kehadiran bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam beberapa program bersama pengundi di Sabah tidak menimbulkan sebarang isu kerana ia dibuat atas kapasiti peribadi.

Beliau berkata penglibatan KJ dalam menyertai sesi dialog dan program santai adalah hak individu yang ingin memberikan sokongan kepada rakan-rakan politik atau calon tertentu.

BN bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan