PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Agenda pengurusan banjir yang tersusun dan cekap demi kesejahteraan rakyat dan kesiapsiagaan negara menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 antara topik dibangkitkan pada Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) Bilangan 10/2025, hari ini.
Dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, mesyuarat itu antara lain mendengar pembentangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung situasi banjir semasa yang menunjukkan beberapa negeri telah terjejas dengan ribuan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Bagi memperkukuh tindak balas dan pengurusan mangsa, kerajaan telah menyalurkan RM57 juta merangkumi bantuan wang ihsan serta peruntukan pengoperasian bencana. Aset penyelamat dan logistik turut digerakkan lebih awal sebagai langkah mitigasi menghadapi taburan hujan luar biasa akibat fenomena La Niña,” menurut kenyataan STAR hari ini.
Selain kesiapsiagaan banjir, STAR turut memperhalusi pelbagai langkah penambahbaikan berimpak tinggi yang akan memperkukuh kecekapan perkhidmatan awam, termasuk usaha mempertingkat keupayaan makmal pengujian dadah melalui model baharu yang menggabungkan naik taraf makmal Kementerian Kesihatan, peluasan fungsi Jabatan Kimia Malaysia serta kawal selia penggunaan makmal swasta bagi mempercepat proses pengesahan ujian dari 60 hingga 90 hari kepada sasaran 10 hari.
Dalam aspek komunikasi kerajaan, STAR memaklumkan Kementerian Komunikasi membentangkan pelan pemerkasaan Unit Komunikasi Korporat (UKK) di kementerian dan agensi bagi memastikan mesej dasar yang disampaikan kepada rakyat lebih tuntas, tepat dan seragam.
“Kajian komprehensif selama dua bulan akan bermula segera bagi merangka model UKK yang lebih mantap dan responsif terhadap tuntutan media dan orang awam,” menurut STAR.
Pada mesyuarat itu turut diberi taklimat mengenai Pekeliling Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan yang akan menyokong penguatkuasaan Akta 867 mulai 1 Dis ini.
Pekeliling berkenaan akan menjadi rujukan utama dalam mengurangkan beban regulatori kerajaan sekurang-kurangnya 25 peratus serta memperkukuh disiplin dan akauntabiliti perkhidmatan awam melalui pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
Mengulas rangka tindakan yang dibentangkan, Shamsul Azri dalam kenyataan sama menegaskan fokus kerajaan adalah memastikan reformasi diterjemah kepada hasil yang nyata dan memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Reformasi adalah satu kemestian. Yang penting bukan sekadar dasar, tetapi keberhasilan yang dapat dirasai rakyat melalui tindakan kerajaan yang cepat, tepat dan berimpak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial