SHAH ALAM, 27 Nov (Bernama) -- Hukuman rotan wajar dikembalikan semula sebagai satu pendekatan menangani kes buli dan salah laku jenayah di sekolah.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata bagi mengelak kebimbangan salah guna kuasa dalam kalangan guru, pelaksanaan semula hukuman rotan boleh dibuat secara berperingkat dan terkawal mengikut garis panduan yang jelas.
Beliau berkata polis memandang serius isu buli dan jenayah dalam kalangan remaja sebagai satu bentuk jenayah sosial yang boleh menjejaskan masa depan generasi muda itu.
“Hukuman rotan ada pelbagai jenis kategori serta bergantung kepada situasi dan jenis kesalahan… ada bersifat minimum rotan, kuantiti iaitu berapa kali rotan, dan perkara ini perlu dikaji sebelum diperkenalkan semula.
“Manusia ini belajar dari pengalaman dan rasa yang dilalui dan itu lebih berkesan daripada kita bercakap dan berkomunikasi tanpa merasai sendiri,” katanya pada sidang media sempena program Kempen Anti Buli di sini hari ini.
Shazeli berkata sebanyak 108 pelajar telah ditahan atas pelbagai kesalahan di Selangor antara Januari dan Oktober tahun lepas.
Beliau berkata bilangan kes meliputi pelajar sekolah rendah dan menengah ditahan itu meningkat kepada 122 orang bagi tempoh sama tahun ini.
“Antara kesalahan yang dikesan melibatkan buli, ugutan, mencederakan, selain pergaduhan dengan elemen gangsterisme, ini yang paling kita bimbangkan,” katanya.
Shazeli berkata faktor takut atau fear factor dalam kalangan pelajar juga semakin berkurangan, akibat pengurangan atau pemansuhan sesetengah peraturan dan tindakan penguatkuasaan disiplin.
Beliau berkata peraturan atau tindakan sebegitu sepatutnya tersedia bagi membolehkan guru-guru menguruskan disiplin pelajar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial