KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Universiti Malaya (UM) bakal melakar sejarah apabila meraikan sebanyak 11,356 graduan pada Istiadat Konvokesyen ke-65 dari 29 Nov hingga 10 Dis, sekali gus mencatatkan jumlah graduan tertinggi dalam tempoh 120 tahun penubuhan universiti itu.
UM dalam kenyataan memaklumkan pembukaan sidang pertama istiadat konvokesyen berkenaan akan disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Canselor Universiti Malaya pada Sabtu ini.
Pada istiadat kali ini, bekas Ketua Hakim Negara dan alumni Universiti Malaya Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang juga wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara akan dikurniakan Ijazah Kehormat sebagai penghargaan terhadap jasa serta sumbangan beliau.
“Selain itu, Universiti Malaya juga akan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada beberapa nama besar dalam bidang klinikal, bidang sains dan bidang bukan sains,” menurut kenyataan itu.
Antara penerima dalam bidang klinikal dan sains ialah Prof Dr Khoo Ee Ming (Perubatan Keluarga), Prof Dr Phrabhakaran Nambiar (Odontologi Forensik dan Radiologi Mulut & Maksilofasial), Datuk Prof Dr Rohana Yusof (Virologi) serta Datuk Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud (Epidemiologi dan Informatik Kesihatan).
Dalam bidang bukan sains, gelaran Profesor Emeritus akan dikurniakan kepada Datuk Prof Dr Mohd Zambri Zainuddin (Astronomi dan Astronomi Islam) dan Datuk Prof Dr Ahmad Hidayat Buang (Undang-Undang Islam Kontemporari).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial