PASIR MAS, 27 Nov (Bernama) -- Hanya dalam beberapa jam, rutin tenang petang di Rantau Panjang bertukar cemas apabila air Sungai Golok mula melimpah selepas parasnya melepasi tahap bahaya, sekali gus memasuki kawasan Pintu 2, Zon Bebas Cukai dan sebahagian pekan itu, menenggelamkan laluan rendah serta memaksa peniaga dan penduduk bertindak pantas menyelamatkan barangan, sebelum keadaan bertambah buruk.
Tinjauan Bernama petang ini mendapati limpahan air semakin ketara, khususnya di tebing sungai dan laluan utama pekan, selain arus deras yang menghakis sedikit tanah di beberapa bahagian tebing.
Sebilangan peniaga turut menutup premis lebih awal, manakala penduduk berhampiran mengalihkan kenderaan serta peralatan penting ke kawasan lebih tinggi sebagai langkah berjaga-jaga.
Peniaga pakaian Rohani Jusoh, 52, berkata kenaikan paras air kali ini berlaku lebih cepat daripada kebiasaan.
“Tahun lepas pun air naik, tapi tidak secepat hari ini. Bila nampak air mula masuk kawasan jalan, saya terus kemas semua stok. Kalau lambat sikit memang habis basah,” katanya kepada Bernama hari ini.
Seorang penduduk Mohd Faizal Abdullah, 34, berkata paras air bertambah dalam masa sangat singkat dan tidak menyangka telah melimpah ke atas jalan raya.
“Setengah jam sebelum tu masih nampak tebing. Lepas hujan lebat, terus melimpah. Memang tak tunggu lama, saya dan jiran cepat-cepat pindahkan kenderaan,” katanya.
Sementara itu, Siti Khadijah Awang, 28, berkata rumahnya yang berhampiran tebing sungai membuatkan keluarganya sentiasa berjaga-jaga.
“Anak saya tidur pun tak lena bila nampak air dekat depan rumah. Kami harap tak berlaku kenaikan paras sungai yang mendadak malam nanti,” katanya.
Seorang lagi penduduk Razali Che Mat, 61, berkata walaupun sudah biasa berdepan musim banjir, limpahan kali ini kelihatan lebih agresif.
“Saya sudah ulang-alik tengok paras air sejak pagi. Biasanya lambat sikit naik, tapi tahun ini nampak lain macam cepat dan deras. Itu yang buat kami risau,” katanya.
Pemerhatian Bernama juga mendapati cuaca juga kekal mendung dengan hujan gerimis berpanjangan, menambah kebimbangan penduduk bahawa paras air mungkin meningkat dalam tempoh terdekat jika hujan tidak berhenti.
Selain itu, terdapat anggota keselamatan membuat rondaan berkala di kawasan berisiko, selain menasihatkan penduduk supaya berwaspada, memantau makluman rasmi dan bersedia untuk berpindah sekiranya diminta.
Situasi itu turut menimbulkan kebimbangan penduduk dan peniaga di zon rendah sekitar Rantau Panjang, yang ketika ini bersiap sedia menghadapi kemungkinan air naik pada sebelah malam.
Berikutan itu, Infopublic Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang terus kekal pada tahap bahaya apabila bacaan terbaru pada 4.15 petang mencatatkan 10.36 meter, melepasi paras bahaya 9.00 meter sebanyak 1.36 meter.
JPS memberitahu, trend paras air di stesen Rantau Panjang juga menunjukkan tiada perubahan, sekali gus mengekalkan risiko limpahan ke kawasan rendah sekiranya hujan berterusan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial