EKONOMI

Organisasi Perlu Jadikan Pelaporan Korporat Sebagai Instrumen Strategik - Amir Hamzah

28/11/2025 01:02 AM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Syarikat perlu melihat pelaporan korporat sebagai instrumen strategik dan bukan sebagai pematuhan yang membebankan dalam keadaan peralihan ekonomi global ke arah paradigma hijau dan digital.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelaporan korporat berperanan sebagai kaedah untuk menyatakan tujuan, kemajuan dan prestasi secara jelas dan berintegriti.

“Saya mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan kepada Bursa Malaysia Bhd, Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) atas kerjasama mereka dalam mendorong peningkatan berterusan dalam standard pelaporan korporat.

“Kerajaan mengakui bahawa institusi yang kukuh dan integriti profesional adalah penting dalam mencapai objektif korporat negara,” katanya dalam ucaptama pada Anugerah Laporan Korporat Tahunan Kebangsaan (NACRA) 2025 di sini malam ini.

Amir Hamzah yang juga menjalankan fungsi dan tugas Menteri Ekonomi berkata kerajaan bergantung kepada organisasi seperti Bursa Malaysia, MIA dan MICPA untuk mendukung standard profesionalisme tertinggi, memupuk budaya korporat beretika dan memastikan Malaysia terus dilihat sebagai destinasi pelaburan dan perniagaan yang dipercayai.

Beliau berkata dalam melangkah maju, cabaran yang dihadapi komuniti korporat adalah besar meliputi gangguan digital dan tuntutan kemampanan serta perubahan harapan pelabur.

Bagaimanapun, wujud peluang untuk berinovasi, memimpin, membina kepercayaan serta memupuk keterbukaan dan kebertanggungjawapan di sebalik semua cabaran tersebut, katanya.

“Marilah kita memanfaatkan teknologi bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan malah meninggikan lagi tahap ketelusan dan kepercayaan awam. Bersama-sama, marilah kita berusaha ke arah korporat Malaysia yang inovatif dari segi pemikiran, bertanggungjawab dalam tindakan dan telus dalam komunikasi,” katanya.

Selama lebih tiga dekad, NACRA merupakan lambang kecemerlangan dalam pelaporan korporat, menetapkan penanda aras bagi ketelusan, kebertanggungjawapan dan tadbir urus yang baik dalam landskap korporat Malaysia.

“Tahun ini, NACRA amat signifikan. Bukan sahaja kerana menandakan 35 tahun penubuhannya malah juga menarik penyertaan 60 organisasi. Pencapaian ini mencerminkan pengiktirafan yang semakin meningkat dalam komuniti korporat kita terhadap kepentingan pelaporan yang jelas, jujur dan menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan