AM

Empat Individu Ambil Inisiatif Bantu Rakyat Malaysia Terkandas Di Hat Yai

27/11/2025 10:21 PM

Oleh Nurrul Huda Ahmad Lufti

KANGAR, 27 Nov (Bernama) -- Empat individu dari Jemaah Towing Response Team mengambil inisiatif  sendiri untuk membantu usaha membawa keluar rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di Hat Yai.

Wakil Jemaah Towing Response Team Muhammad Zulhilmi Abdul Latif berkata mereka yang hanya ingin dikenali sebagai Sudin, Farid, Acap dan Adli memasuki selatan Thailand itu pada Selasa lepas.

Muhammad Zulhilmi berkata menerusi misi bantuan dilaksanakan empat rakannya itu, berjaya menyelamat kira-kira 400 rakyat Malaysia setakat ini, meskipun menghadapi cabaran arus deras selain paras air yang tinggi serta tidak biasa dengan kawasan sekitar. 

“Situasi semasa di Hat Yai, air semakin surut tetapi masih ada tempat yang airnya dalam, mungkin masih ada lagi warga Malaysia yang sangkut. Bot dan kenderaan pacuan empat roda agak sukar nak melepasi masuk ke hotel ini sebab kawasan air berpulau,” katanya ketika dihubungi Benama malam ini.

Mengenai pergerakan misi itu, Muhammad Zulhilmi berkata empat rakannya itu pergi ke Hat Yai dengan dua kenderaan pacuan empat roda bersama dua bot berenjin yang masing-masing ditaja rakan strategik mereka, iaitu Pertubuhan Kebajikan Dana Kita dan Empayar Pakteh/Bangsa Buah.

“Jemaah Towing Response ini bukan NGO (badan bukan kerajaan), kami terdiri daripada individu yang tubuh sendiri group ini, tetapi kami ada sahabat NGO sepanjang misi kami, seperti Dana Kita dan Si Peduli (Peduli Ummah).

“Untuk memulakan misi bantuan ini, ia usaha individu yang perlu guna duit poket sendiri ... namun alhamdulillah, rakan strategik kami seperti Dana Kita dan Si Peduli ada bantu.

“Kelengkapan menyelamat seperti jaket keselamatan juga dibantu rakyat Thailand selain empat rakan saya ini dapat kerjasama daripada pihak Royal Thai Army yang menjaga dan beri panduan kepada mereka sepanjang misi bantuan ini,” katanya.

Muhammad Zulhilmi berkata empat rakannya akan menyambung misi pada esok, memandangkan mereka dibenarkan berbuat demikian dari 8 pagi hingga 7 malam sahaja.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan