SUBANG, 28 Nov (Bernama) -- Berbekalkan kemahiran dipelajari di Institut Malaysia-China (MCI) GiatMARA Bagan Datuk, dua remaja dari Perak tidak menyangka hasrat menerokai dunia pengecatan kenderaan akhirnya merintis laluan kepada bidang lebih mencabar, iaitu mengecat pesawat.
Muhammad Haziq Mohd Hata dan rakannya Muhammad Daniel Mohammad, masing-masing berusia 19 tahun, kini menggalas tanggungjawab sebagai jurupengecat pesawat di Excel Generation Maxima Sdn Bhd, sebuah syarikat penyembur cat badan pesawat di Lapangan Terbang Subang, sejak Mei lepas.
Pada usia muda tatkala ramai rakan sebaya masih tercari arah haluan, dua anak muda ini mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM2,500 hingga RM5,000 sebulan dan tidak pernah menyangka Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diperoleh membuka pintu rezeki seluas-luasnya untuk mereka.
Muhammad Haziq berkata segalanya bermula apabila seorang guru di MCI GiatMARA Bagan Datuk melihat potensi mereka dan mengesyorkan kedua-duanya menjalani latihan industri dalam dunia pengecatan pesawat ketika mengikuti kursus Baik Pulih dan Mengecat Kenderaan pada sesi Julai 2024.
“Peluang itu datang secara kebetulan apabila seorang guru mencadangkan saya dan Muhammad Daniel menjalani latihan industri di syarikat berkenaan. Sebelum ini, kami hanya belajar dalam bidang pengecatan kereta dan kenderaan biasa sahaja.
“Sebab itu, (pada awalnya) wujud perasaan ragu-ragu (kami berdua) kerana tiada pengalaman dalam bidang itu (pengecatan pesawat),” katanya kepada Bernama baru-baru ini, sambil menambah mereka berdua nekad menyahut cabaran berkenaan dengan berbekalkan ilmu dipelajari di MCI GiatMARA.
Memutuskan untuk merantau sejauh 200 kilometer dari Bagan Datuk sepanjang tiga bulan latihan industri bermula Febuari lepas, Muhammad Haziq berkata jarak perjalanan dan cabaran dihadapi tidak dianggap sebagai halangan.
Sebaliknya, cabaran itu menjadi dorongan untuk mereka melakukan yang terbaik, membuktikan kemampuan graduan TVET serta membalas kepercayaan yang diberikan oleh guru mereka.
Ditugaskan mengecat pesawat turboprop King Air dari Indonesia, Muhammad Haziq berkata pengalaman itu sangat mengujakan kerana tanggungjawabnya jauh berbeza dan lebih besar berbanding mengecat kenderaan kecil.
“Daripada mengecat objek kecil, saya terus diberi kepercayaan mengecat pesawat yang jauh lebih besar. Cabarannya juga meningkat, termasuk mengendalikan lapisan cat bertingkat. Dalam bidang ini, saya juga berpeluang ke luar negara dan ingin mengembangkan kepakaran ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Bagi Muhammad Daniel pula, dia tidak pernah menyangka dapat melihat sendiri kapal terbang dan helikopter dari jarak dekat apatah lagi mengecatnya, sesuatu yang sebelum ini hanya dilihat di langit atau menerusi skrin telefon.
Disifatkannya sebagai ‘momen berharga’, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari itu berkata ilmu diperoleh di GiatMARA melengkapkan dirinya dengan kemahiran praktikal yang membantunya bekerja secara berdikari dan memastikan setiap tugasan dilakukan dengan teliti.
“Saya mula belajar di GiatMARA Bagan Datuk selama enam bulan sebelum menyambung latihan industri selama tiga bulan. Sejujurnya, saya dan Haziq tidak pernah keluar dari Bagan Datuk. Kami berdua memang rapat, sekolah sama, kelas pun sama. Boleh kata susah senang bersama sejak dulu.
“Apa yang diajar oleh tenaga pengajar di GiatMARA Bagan Datuk banyak membantu, daripada teknik mengecat, mengetuk dan menggilap, semua sama termasuklah cabarannya, untuk mendapatkan hasil yang sempurna dan cantik. Cuma, perbezaannya adalah dari segi saiz,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Excel Generation Maxima Amran Musa berkata program TVET membentuk tenaga mahir profesional sekali gus membantu kelangsungan operasi syarikatnya yang kian mendapat permintaan, seiring dengan pertumbuhan industri penerbangan Malaysia.
Amran yang juga lepasan pelatih Institut Kemahiran Mara Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan telah berkecimpung dalam industri baik pulih badan pesawat serta pengecatan kapal terbang hampir 30 tahun, kini membangunkan industri berkenaan dengan memberikan peluang kepada anak-anak muda aliran TVET.
“Saya menekankan kepentingan latihan praktikal ‘hands-on’ bagi membentuk tenaga kerja profesional. Saya percaya pelajar yang bermula dari GiatMARA atau institusi TVET akan lebih bersedia menghadapi cabaran industri.
“Saya melihat pendekatan latihan praktikal dan berfokus pada kemahiran asas membolehkan bekas pelatih seperti Haziq dan Daniel berkembang sehingga tahap profesional,” katanya sambil menambah TVET yang sebelum ini dilihat pilihan terakhir, hakikatnya menawarkan prospek kerjaya yang luas dan menjamin masa depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial