KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), anak syarikat Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) meletakkan pasukan operasinya dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku ribut dan banjir di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.
Alam Flora dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu bagi memastikan tindakan pantas dapat dilakukan untuk mengatasi masalah sekatan pada sistem aliran di longkang dan parit yang boleh menyebabkan banjir akibat hujan lebat dan ribut sejak kebelakangan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata sebagai persiapan awal, pihaknya telah menugaskan kakitangan sedia ada bagi kerja-kerja pembersihan awam serta operasi di tiga kawasan itu dengan tumpuan kepada kawasan berisiko banjir bagi memastikan kelancaran operasi pembersihan dan pengurusan sisa sepanjang musim hujan.
“Di samping itu, Alam Flora juga menggunakan jentera seperti mesin semburan air bertekanan tinggi yang berfungsi untuk membersihkan sekatan pasir, tanah atau sampah di dalam parit dan saluran air.
“Langkah ini dilaksanakan di kawasan kritikal di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik,” katanya dalam kenyataan sama.
Shariman Yusuf mengingatkan orang ramai supaya membuang sisa dengan betul dan tidak ke dalam longkang bagi mengelakkan saluran tersumbat yang boleh meningkatkan risiko banjir.
Dalam pada itu, Alam Flora bekerjasama dengan Pusat Koordinasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk mengenal pasti beberapa kawasan yang sering dilanda banjir.
Menurut Alam Flora, terdapat 15 kawasan tumpuan banjir dikenal pasti di Kuala Lumpur iaitu di Jalan Rahmat, Jalan Sultan Azlan Shah, Lebuh Raya Sultan Iskandar (hadapan Bangunan Parlimen), Jalan Dato Onn, Jalan Parlimen dan sekitar, Jalan Tun Sambanthan Brickfields, Kampung Pasir, Kampung Persekutuan dan Jalan Cochrane (berdekatan Mytown).
Selain itu, Terowong Jalan Chan Sow Lin, Jalan Sultan, Jalan Puchong, Jalan Cheras (bersempadan PGRM), Jalan Pudu (berhadapan Tung Shin), Jalan Genting Klang (UTAR), Jalan Pintasan Segambut dan Jalan Genting Kelang (Shell).
Sebanyak 11 kawasan di Putrajaya dikenal pasti sebagai berisiko banjir termasuk Jalan Tun Hussein (Presint 4), Jalan P8 berhampiran Medan Selera dan Padang Sintetik (Presint 8), jalan antara terowong Presint 9-11, Jalan P10A (Presint 10), Jalan P11/J5 dan kawasan hadapan Sekolah Presint 11, Laman Duta-Jalan Presint 15, Simpang 4 Petronas (Presint 18), Lebuh Wadi Ehsan, Persiaran Timur berhampiran Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Jintan (Presint 16) serta jalan hadapan PPAM Kasturi (Presint 17).
Di Pahang pula, sebanyak 125 kawasan dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir, meliputi daerah-daerah utama seperti Temerloh (26 kawasan), Bera (16), Bentong (13), Raub (12), Kuala Lipis (12), Kuantan (11), Cameron Highlands (sembilan), Jerantut (sembilan), Rompin (enam), Maran (enam), Pekan (dua), Muadzam (dua) dan Tioman (satu).
“Kawasan-kawasan berisiko tinggi ini memerlukan pemantauan rapi serta tindakan persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial