KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025 dijangka menyaksikan situasi Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung sekali gus membuka laluan kepada pembentukan kerajaan melalui rundingan antara parti selepas keputusan rasmi diumumkan.
Analisis pascapenamaan calon oleh Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Ismail Rakibe menunjukkan Pilihan Raya Negeri Sabah 2025 menjadi antara pilihan raya paling sengit dalam sejarah dengan landskap politik berpecah kepada banyak parti dan gabungan.
Laporan bertajuk "PRN Sabah 2025: Tinjauan Pilihan Raya dan Implikasi Strategik Penilaian Pasca Penamaan Calon (Tempoh Kempen)" itu menunjukkan tiada satu gabungan atau parti dijangka mampu memperoleh kemenangan "pluraliti" (menang dengan undi terbanyak, bukan majoriti).
Menurut analisis itu, keputusan PRN kali ini seimbang dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masing-masing diramal memenangi 18 kerusi.
Baki kerusi politik diagihkan kepada Parti Warisan (Warisan), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), serta parti-parti tempatan kecil lain dan calon bebas, mewujudkan DUN dengan beberapa blok sederhana besar, namun tiada satu parti yang dominan.
Dalam anggaran kerusi yang akan dimenangi oleh parti atau blok bertanding, Ismail berkata Warisan dianggar 16 kerusi, PH (14), PN (tiga) manakala empat kerusi lagi dijangka disumbangkan oleh parti kecil dan calon bebas.
"Kerajaan Sabah seterusnya kemungkinan besar terbentuk melalui rundingan antara parti-parti selepas pilihan raya, bukan kerana kemenangan satu parti majoriti," menurut analisis itu.
Keputusan akhir dijangka bergantung kepada rundingan antara parti, perbincangan antara blok, strategi blok bersaiz sederhana seperti Warisan dan PH serta kesepakatan parti kecil yang mungkin menjadi penentu.
Analisis itu turut menunjukkan pilihan raya negeri ini melibatkan persaingan pelbagai penjuru, perbezaan ideologi yang terhad dan pengundian yang lebih berfokus kepada personaliti calon, khususnya di kawasan separa bandar dan luar bandar.
PRN ke-17 menyaksikan pertembungan paling sengit di DUN Tulid dengan 14 calon bertanding, diikuti Bandau, Tamparuli dan Inanam (masing-masing 13 penjuru) serta Banggi (12 penjuru).
Beliau berkata perubahan corak pengundian kali ini turut dipengaruhi kemasukan lebih 660,000 pengundi baharu hasil pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik yang kini mewakili hampir 30 peratus keseluruhan pengundi Sabah.
Tinjauan sepanjang tempoh kempen mendapati dua faktor utama, iaitu tuntutan terhadap kestabilan politik dan pola pengundian generasi muda menjadi pemacu perubahan kecil tetapi signifikan dalam dinamik pilihan raya ini.
“Golongan belia ini dilihat menilai calon berdasarkan integriti, prestasi dan kemampuan menyelesaikan isu harian seperti air, elektrik dan jalan raya.
“Sentimen kestabilan pula kekal dominan, terutama dalam kalangan pengundi luar bandar dan separa bandar yang mahukan pentadbiran lebih teratur dan mudah dijangka,” menurut laporan itu.
Sebanyak 960,000 pengundi berumur antara 18 hingga 39 tahun layak mengundi pada PRN kali ini daripada jumlah keseluruhan 1.76 juta pengundi.
Laporan itu juga menunjukkan BN dan GRS mendominasi minat pengundi muda pada media sosial, khususnya di TikTok, Instagram Reels dan Facebook Shorts, manakala PN dan Warisan berdepan cabaran dari segi sumber kempen serta capaian digital.
Pada PRN kali ini, sebanyak 596 calon disahkan bertanding di 73 kerusi DUN.
Daripada jumlah itu, calon Bebas adalah paling ramai, iaitu 74 orang diikuti Parti Warisan (Warisan) sebanyak 73, Parti Impian Sabah (PIS) (72), GRS (55), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (46), BN (45), PN (42), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) (40), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (25) dan PH 22 orang.
Selepas tempoh penamaan calon pada 15 Nov lepas berakhir, PH disahkan bertanding sebanyak 22 kerusi, namun dua hari selepas itu Abdul Halim Sidek Gulam Hassan dari PKR yang diletakkan di DUN Silam menarik diri.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan tindakan menarik diri Abdul halim tidak dibenarkan menurut peraturan sedia ada dan nama beliau kekal tersenarai sebagai calon PH dalam kertas undi bagi DUN berkenaan.
Turut bertanding ialah Parti Kebangsaan Sabah (PKS)(20), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri)(17), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) (16), Parti Bumi Kenyalang (PBK)(14), Parti Rumpun Sabah (Rumpun) (tujuh), Parti Maju Sabah (SAPP) (enam), Parti Damai Sabah (SPP) (lima), Perjuangan Rakyat (PR) (enam), Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (GAS) (tiga), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (tiga) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (tiga).
Sementara itu Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama) dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan) masing-masing seorang calon.
Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 yang melibatkan 1.76 juta pemilih berdaftar berlangsung esok.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial