MARANG, 28 Nov (Bernama) -- Seorang petani di Kampung Banggol Kapas di sini kerugian sehingga RM10,000 apabila lebih 5,000 pokok sayur-sayurannya musnah akibat banjir.
Mohd Saiful Azhan Abdullah, 35, berkata tanaman terung, kacang panjang dan timun di kebunnya yang seluas 0.4 hektar dinaiki air sehingga ke paras dada pagi tadi.
“Saya mula menanam dan membaja sayuran pada hujung Oktober lepas hingga awal bulan ini dan sepatutnya kini sudah boleh tuai hasil kecuali terung yang mengambil masa agak lama untuk berbuah," katanya ketika ditemui Bernama di kebunnya di Kampung Banggol Kapas, di sini hari ini.
Dia yang mengusahakan kebun itu secara sepenuh masa sejak lima tahun berkata ini merupakan kali kedua kebunnya dinaiki air selepas 2023 tetapi menurutnya air pada waktu itu hanya pada paras betis dan tidak memusnahkan keseluruhan tanaman.
Bagaimanapun dia bersyukur kerana sempat menyelamatkan kira-kira 100 kilogram (kg) kacang panjang yang telah matang semalam dan dapat dijual kepada pemborong hari ini.
Sementara itu di Kampung Banggol Katong yang terletak bersebelahan Kampung Banggol Kapas, seorang peniaga orang kurang upaya (OKU) tetap meneruskan operasi kedai runcitnya meskipun kawasan premis dan rumahnya dinaiki air sejak semalam.
Japri Mohd Naim, 58, berkata dia tetap meneruskan perniagaan bagi memudahkan penduduk kampung mendapatkan barangan keperluan dan makanan pada musim banjir.
“Apatah lagi hujan lebat sejak dua hingga tiga hari ini menyebabkan jalan keluar dari kampung dinaiki air serta tidak boleh dilalui kenderaan ringan, jadi kalau saya tutup kedai susah juga orang kampung hendak mendapatkan barangan keperluan,” katanya yang menguruskan kedai itu bersama isteri Siti Rohani Zainal, 56.
Japri yang lumpuh daripada paras pinggang hingga ke kaki akibat jatuh dari pokok rambutan 14 tahun lepas berkata dia selama ini beroleh hasil jualan sebanyak RM4,000 hingga RM5,000 sebulan namun perniagaan kedai runcitnya itu terjejas kira-kira 50 peratus akibat banjir kali ini.
Sementara itu di Kuala Terengganu, seorang penternak terpaksa mengalihkan lapan ekor lembu miliknya selepas kandang ternakan di Kampung Banggol Durian, Serada ditenggelami air sejak pagi tadi.
Ramli Muhammad, 52, berkata banjir yang naik mendadak memaksanya bertindak pantas membawa haiwan ternakan ke tempat selamat bagi mengelakkan sebarang kerugian, selain memastikan keselamatan semua ternakan terjamin.
"Masih ada beberapa ekor lagi yang berada di kandang dan jika tidak sempat dialihkan, dikhuatiri haiwan ternakan itu boleh lemas akibat paras air yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Tinjauan Bernama di Kampung Beladau Selat pula mendapati beberapa kawasan penempatan ditenggelami air sehingga paras pinggang, menyebabkan beberapa penduduk terpaksa dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat.
Beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu bertindak pantas menyelamatkan penduduk termasuk warga emas yang uzur menggunakan bot sebelum mereka dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Serada.
Seorang penjawat awam, Mohd Ariffin Ngah, 54, berkata beliau tidak dapat tidur semalaman kerana terpaksa menyelamatkan barangan serta dokumen penting ke tempat lebih tinggi selepas air mulai memasuki rumahnya hingga paras buku lali sejak 3 pagi tadi.
Beliau juga meluahkan kebimbangan kerana rumah ibunya, Chik Mohammed, 85, yang terletak bersebelahan kediamannya itu turut ditenggelami air.
“Ibu saya sudah uzur dan bergantung kepada kerusi roda. Dia tidak dapat berjalan, jadi keadaan air yang mula naik sejak awal pagi tadi benar-benar menimbulkan kerisauan. Alhamdulillah, tindakan pantas APM membantu memindahkan ibu ke tempat lebih selamat, sedikit sebanyak melegakan kebimbangan kami," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial