AM

Sabah Electricity Siap Siaga Pastikan Bekalan Elektrik Stabil

28/11/2025 11:20 PM

KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Sabah Electricity telah bersiap siaga bagi memastikan bekalan elektrik lancar dan stabil sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, esok.

Menerusi hantaran di Facebook, syarikat utiliti itu memaklumkan pihaknya akan memastikan bekalan elektrik di semua pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi di seluruh Sabah berada dalam keadaan baik.

"Misi kami memastikan bekalan elektrik stabil dari pemeriksaan teknikal, kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga menyediakan ‘genset’ (jana kuasa) bergerak, pasukan kami bersedia sepenuhnya.

"Sabah Electricity komited menyokong kelancaran proses pilihan raya untuk seluruh rakyat Sabah," menurut hantaran itu.

Sabah Electricity juga telah mengaktifkan bilik gerakan pusat sempena pilihan raya negeri kali ini, selain polis bantuan bagi meningkatkan rondaan keselamatan dan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya untuk pemeriksaan pendawaian dalaman di pusat berkenaan.

Lebih 1.74 juta pemilih berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mengundi wakil rakyat mereka bagi PRN kali ini yang mempertandingkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan