SUKAN

Sukan SEA 2025: Skuad Petanque Sasar Empat Pingat Di Thailand

01/12/2025 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF) mengambil pendekatan berhati-hati apabila menetapkan sasaran empat pingat tanpa mengira warna bagi skuad petanque kebangsaan pada Sukan SEA 2025 di Thailand dari 9 hingga 20 Dis ini.

Pemangku Presiden MBSF Cheah Ban Cheng berkata pihaknya bagaimanapun menaruh harapan sekurang-kurangnya satu emas mampu dijelmakan daripada keseluruhan 11 acara yang dipertandingkan.

“Kami akan memburu pingat emas tetapi kami perlu bersikap realistik. Kami mempunyai sasaran khusus, namun tidak boleh dikongsikan...ini adalah permainan strategi. 

“Kita perlu menghormati negara tuan rumah yang baru-baru ini melahirkan juara dunia lelaki dan wanita. Jadi, sudah tentu kita perlu menyusun langkah dengan betul, kita ada strategi sendiri…Saya yakin seharusnya kita dapat meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Web Rasmi MBSF dan Penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad petanque kebangsaan ke Sukan SEA 2025 di Wisma OCM di sini hari ini.

Menurut Cheah, ketiadaan Kemboja yang dikhabarkan menarik diri memberi kelebihan kepada pemburuan pingat kem negara.

“Kita hanya mengetahui melalui media bahawa Kemboja menarik diri daripada temasya...dengan penarikan diri Kemboja, peluang atlet Malaysia untuk menjejakkan kaki di podium akan menjadi lebih tinggi,” katanya sambil menambah, skuad petanque negara akan diwakili 24 atlet terdiri daripada 12 lelaki dan 12 wanita.

Pasukan lelaki menampilkan tiga atlet paling berjaya dalam sejarah negara iaitu Saiful Bahri Musmim, Muhamad Hafizuddin Mat Daud dan Syed Akmal Fikri Syed Ali yang juga trio bertanggungjawab menyumbang kesemua lima pingat emas Malaysia pada Sukan SEA setakat ini.

Sebagai rekod, Malaysia memenangi satu emas, satu perak dan tiga gangsa pada edisi 2023 di Kemboja, dengan pencapaian terbaik meraih dua emas, satu perak dan tiga gangsa pada edisi 2017, di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, laman web rasmi MBSF yang dilancarkan hari ini berfungsi sebagai hab berpusat bagi maklumat pasukan kebangsaan, profil atlet, acara serta keputusan, laluan pensijilan pengadil, senarai ahli gabungan dan perkembangan komuniti.

Ia turut mencerminkan komitmen MBSF terhadap ketelusan, pengukuhan komunikasi dan pembangunan jangka panjang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan