AM

NADMA Siap Siaga Hadapi Gelombang Kedua Banjir, Koordinasi Bantuan Segera

01/12/2025 02:40 PM

BAGAN DATUK, 1 Dis (Bernama) -- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berada dalam keadaan siap siaga menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir, selain memastikan koordinasi bantuan wang ihsan dan keperluan mangsa dilaksanakan segera.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kesiapsiagaan itu dipertingkatkan susulan fenomena cuaca luar biasa termasuk kejadian ribut tropika senyar dari Selat Melaka, yang jarang berlaku dan menyebabkan kawasan yang sebelum ini tidak terjejas turut dilanda banjir.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata bantuan tambahan sentiasa tersedia dan telah dikoordinasi supaya pembayaran bantuan wang ihsan dilakukan segera.

"Mengikut peraturan, bantuan wang ihsan diberikan tiga hari selepas PPS (pusat pemindahan sementara) ditutup. Arahan saya, ketika mereka masih berada di PPS pun bantuan boleh disalurkan kerana mereka memerlukan wang segera untuk membeli peralatan baru di rumah yang rosak.

"Walaupun jumlah itu tidak mencukupi, keperihatinan kerajaan adalah membantu; ini bukan pampasan kerana bencana adalah ketentuan Allah SWT dan kita harus menerimanya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat ringkas mengenai bencana banjir di Bagan Datuk hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata kesiapsiagaan menghadapi gelombang kedua dan ketiga banjir telah diatur.

"Kebetulan, NADMA telah mengadakan Bulan Kesiapsiagaan di Jerantut, Pahang bulan lalu dan koordinasi telah dilakukan di peringkat negara, negeri, dan daerah. Tahun ini, koordinasi dijalankan dengan lebih baik, Insya-Allah," katanya.

Berkenaan lawatannya ke beberapa PPS di Bagan Datuk hari ini, beliau memaklumkan berlakunya paip besar pecah, menyebabkan air tidak dapat disalurkan sepenuhnya ke kawasan PPS.

Ahmad Zahid berkata beliau telah meminta Lembaga Air Perak (LAP) menyediakan tangki air tambahan dan memam air ke tangki besar PPS supaya penghuni dapat menggunakannya sepenuhnya.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelesaikan masalah banjir di seluruh negara, termasuk di Bagan Datuk.

Terdahulu, Ahmad Zahid meninjau PPS di Dewan UMNO, menghadiri taklimat, dan seterusnya melawat PPS Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk, kawasan kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat, serta PPS Dewan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Bagan Datuk.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan